::

:::

Sunday, November 21, 2010

Cuti Sekolah: Banyaknya kenduri kahwin...


Sudah memang menjadi tradisi masyarakat Melayu Islam Malaysia ni. Sebaik aje cuti sekolah bermula, senarai jemputan kenduri kahwin punyalah banyak, hingga ada yang tak tertunaikan. Hanya sms pengganti diri. Baik yang kahwinkan anak lelaki, anak perempuan, cucu, cicit, anak menakan dan ada juga yang terbabas kenduri kahwinkan diri sendiri. Apapun, inilah masanya saudara mara sahabat handai bertemu. Kekadang tu kalau tak kerana kenduri kendara atau kematian, ada yang tak balik - balik dah ke kampung halaman. Itu belum masuk lagi kenduri berkhatan..


Itulah kenduri sekarang ni tak ada lagi semangat gotong royong. Tak ada lagi berjaga hingga lewat malam kenduri. Main jerami la..Berbual kosong sambil pekena kopi, nasi wajik, kuih bakar, roti kering sambil dihiburkan dengan lagu Al Mizan atau Al Jawaher. Speakernya pula setinggi pucuk kelapa. Habis sekampung dapat mendengarnya.

Dulu - dulu tarikh kenduri pun ada persepakatan. Kalau tarikh dah ada kenduri, orang lain pilih tarikh lain. Sebelum kenduri dah ada doa selamat letak kerja. Tentukan siapa tukang memadahnya (jemput), siapa masak lauk pauknya, siapa tukang masak nasi nya, siapa tukang hidangnya, siapa tukang pasang bangsal/khemahnya dan yang muda - muda pula jadi penyangga ( tukang angkat hidang). Tukang bancuh minuman pun ada orangnya.Ada hari nya pula kaum ibu datang untuk goreng nyor rendang, bahan untuk masak gulai masak hitam. Selalunya bukan hanya datang tolong, tapi kaum ibu ni bawakan gula ke, bers ke sebagai sedekah untuk tuan rumah. Tak kira le tuan rumah tu kaya ke miskin ke.

Petang kenduri pulak lembu atau kerbau disembelih. Tulangnya dimasak gulai batang pisang campur ikan masin, ulam dan sambal untuk jamuan majlis doa selamat dan tahlil pada sebelah malam kenduri. Malam tu malam berinai. Lepas makan, bersembang lah dengan jeraminya sampai pagi. Selalunya jam 3 pagi dah mula memerah santan. Alatnya pun unik..sebatang kayu yang diikat di pokok dan mempunyai pengepit untuk perah santan. Seawal jam 5 pagi, operasi memasak dah mula..masa tu makan kerak nasi gaul dengan kuah masak hitam..aduh ..nikmanya tak terkata..

Esoknya kenduri. seawal jam 11 pagi , yang bertugas dah datang. Makan dulu. Tetamu datang hidangan diangkat. Itupun ada sistemnya. Angkat dulang, jug air lepas tu bekas basuh tangan. ada pula yang tukang angkat sisa pinggan dan hantar ke tempat basuh pinggan - mangkuk. Ada pula ketuanya. Jam 2ptg pengantin tiba. Tetamu lelaki selalunya dah tiada, tetapi yang wanitanya memang sanggup tunggu untuk lihat pengantin. Selepas tu sebelah malam sesi bersanding untuk keluarga terdekat..selalunya pakai pakaian ala barat dan potong kek..dan esok dan hari seterusnya..kendara..tuan rumah lah buat sendiri..

Kita di Gerik..panjang lagi ceritanya kenduri kahwin dulu - dulu..sekarang ni..siapkan duit aje..

No comments:

Post a Comment