::

:::

Thursday, April 30, 2009

Kelas KAFA .. Sekolah Agama Rakyat atau Kelas al Quran dan Fardu Ain

KAFA. Sepatutnya ringkasan kepada Kelas Al-Quran dan Fardu Ain. Sepatutnya kandungan sukatannya berkisar kepada Al Quran dan Fardu Ain. Sepatutnya anak - anak yang belajar di KAFA pada sebelah petang lepas persekolahan, daripada Tahun 1 sehingga Tahun 6, akan masuk ke Tingkatan Satu dengan bekalan pengetahuan dan amalan tiada tolok bandingnya dalam Al Quran, Solat, Puasa, serta pengetahuan asas dalam zakat dan Haji. Keluar daripada amalan persekolahan sebagai manusia yang berjiwa al-Quran dan menjaga solat. Keluar sebagai manusia sebagai pemimpin, profesional dan individu dalam masyarakat yang beriman dan berakhlak mulia. Mengerjakan yang maaruf, menjauhi yang mungkar.
Itu sepatutnya. 6 tahun pengajian di Kelas KAFA, ditambah lagi dengan Pendidikan Islam dan J-Qaf di sekolah rendah dan menengah.
Anak - anak kita pun mengikuti kelas KAFA. Dulu kita berikan tumpuan kecil sahaja terhadap perkara berkaitan Al-Quran dan Fardu Ain kerana dah pergi belajar di kelas KAFA, 5 hari seminggu dan 3 jam sehari. Tambah lagi dengan kelas Pendidikan Islam dan J-Qaf.
Suatu ketika, kita solat berjemaah di rumah. Kita pasangkan kamera video tersorok. Rakamkan perbuatan solat anak kita di belakang kita. Ada yang dah habis belajar di KAFA, ada yang 5 tahun dan ada yang 4 tahun di kelas KAFA. Masyaallah, bila rakaman diputar semula, anak - anak rupanya dibelakang kita tidak sempurna solatnya. Dan lebih sukar untuk kita terima, apabila Al - Quran dan Solat seolah - olah tidak meresap ke jiwa mereka. Masa tu kita benar - benar kecewa dengan masa 5 hari seminggu dan 3 jam sehari anak - anak kita di kelas KAFA. Lepas tu kita mula besarkan balik peranan kita di rumah untuk laksanakan apa yang sepatutnya dilaksanakan di Kelas KAFA.
Kenapa kelas KAFA gagal meresapkan ke jiwa nak - anak kita roh Al - Quran dan Solat dalam kehidupan mereka?
Rasanya kaedah pengajaran di KAFA perlu diberikan penelitian. Kelas KAFA sepatutnya lebih berikan tumpuan kepada amali daripada teori. Latihan praktikal daripada kerja - kerja bertulis. Kelas KAFA tidak perlu meja dan kerusi seperti kelas harian di sekolah. Kelas KAFA sepatutnya gunakan meja rendah (seperti rehal) dan dihampari tikar getah sebagai alas duduk. Susunkan anak - anak di sekeliling bilik darjah. Kawasan tengah dikosongkan dan disitulah latihan amali dilaksanakan. Kalau dah susun meja kerusi macam sekolah, kat mana lah nak buatkan amali.
Kebanyakan ustaz dan ustazah kelas KAFA mempunyai kelayakan dan pengetahuan tinggi tentang Al-Quran dan Fardu Ain. Sebelum KAFA, mereka mengajar di rumah, di surau atau masjid. Tentulah mereka tidak dilatih secara profesional, seperti perlaksanaan pengajaran dalam kelas harian. Kenapa tidak aplikasikan kaedah pengaran mereka di rumah, di surau dan di masjid dalam kelas KAFA. Usahlah tumpukan kepada kelas teori, latihan bertulis dan ujian bertulis. Kaedah tu dah ada di sekolah harian. Anak dah diberikan secara teori, diberikan latihan bertulis dan duduki pula ujian bertulis di sekolah harian. Apabila mereka ke Kelas KAFA, apa yang diperturunkan oleh ustaz dan ustazah di sekolah harian, mereka didedahkan pula dengan amali secara serius 5 hari seminggu dan 3 jam sehari di kelas KAFA.
Takkanlah setelah mendapat latihan amali Al-Quran dan Solat misalnya, selama 5 hari seminggu, 200 hari setahun, 3 jam seminggu dan selama 6 tahun, anak - anak masih gagal khatam al-Quran, masih belum solat dengan sempurna. Apalah yang nak diharapkan kepada anak - anak sebegini untuk hidup dengan roh dan panduan Al-Quran serta menjaga solat mereka. Sedangkan zaman datuk nenek kita dan zaman kitapun , mana ada kelas KAFA.
Kita di Gerik rasanya nama Sekolah Agama Rakyat tu..ditukar semula kepada Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) supaya semua pihak mengetahui matlamat sebenar penubuhan kelas KAFA...ada kawan kita di Gerik tak nak hantar anak ke kelas KAFA, hantar mengaji di rumah ustaz..

No comments:

Post a Comment