::

:::

Friday, February 18, 2011

SK Ulu Lubai Sarawak Sekolah Berprestasi Tinggi..Cabaran kepada yang lain..



Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai hanyalah sebuah sekolah yang serba sederhana dari segi infrastruktur dengan bangunan kayu lama manakala satu-satunya binaan konkrit hanyalah tandas kegunaan murid dan guru.

Lokasinya terletak di tengah-tengah hutan belantara. Ia dihubungkan melalui jalan balak ataupun menggunakan bot panjang menyusuri Sungai Lubai yang membabitkan tempoh perjalanan kira-kira sejam daripada Medamit.

Sekolah yang dibuka pada 1964 dan pernah ditutup pada 1976 sebelum dibuka semula setahun selepas itu hanya mempunyai 30 orang murid yang dibimbing oleh 11 orang guru dengan bantuan seorang staf sokongan.

Namun hari ini, SK Ulu Lubai mencatatkan sejarah gemilang apabila muncul sebagai sekolah pedalaman pertama yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) sekali gus memberi tamparan kepada sekolah lain yang berada di kawasan bandar mahupun luar bandar.


Menyifatkannya sebagai amat luar biasa, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kejayaan SK Ulu Lubai itu membuktikan bahawa semua sekolah mampu cemerlang tanpa mengira lokasinya.

“Kalau kita lihat persekitaran dan infrastruktur, ia amat sederhana, bangunannya sudah lama dan diperbuat daripada kayu, tidaklah seelok bangunan-bangunan konkrit di sesetengah sekolah.

“Tetapi kerana kepimpinan sekolah itu adalah cemerlang dan guru-guru serta ibu bapa bersama murid-murid amat komited untuk bantu membangunkan sekolah ini, berlaku lonjakan yang amat besar,” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan senarai 23 SBT Kohort Dua di SK Ulu Lubai di sini hari ini.

Muhyiddin juga melontarkan cabaran kepada sekolah-sekolah lain dengan berkata:

“Jika SK Ulu Lubai yang begini keadaannya boleh muncul yang terbaik, saya tidak fikir sekolah lain tidak mampu.”

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyiddin berkata, SK Ulu Lubai telah menunjukkan pencapaian akademik yang amat cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan keputusan 100 peratus lulus sejak 2006 sehingga sekarang, menjadikannya sebagai sekolah terbaik di negeri ini.

Katanya, dalam penarafan sekolah kebangsaan, SK Ulu Lubai menduduki tempat ke-54 pada 2009 dan ia melonjak ke tempat pertama pada 2010.

Beliau memberitahu, lebih membanggakan, sekolah itu memenangi dua anugerah peringkat antarabangsa iaitu johan Commonwealth Education Good Practice Award 2009 dan finalis anugerah yang sama daripada Sekretariat Komanwel dan Kerajaan Malaysia.

Menurutnya, pencapaian terkini ialah pencalonan UNESCO Educational International Best Practices 2010.

“Di samping itu, ia juga berjaya merangkul lima anugerah peringkat kebangsaan, 14 di peringkat negeri dan 46 di peringkat bahagian dan daerah,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin begitu teruja dengan inisiatif SK Ulu Lubai yang bergerak aktif dalam mewujudkan program jalinan dan jaringan dengan institusi pendidikan luar negara.

Katanya, jaringan itu bukan calang-calang kerana pada 2009 dan 2010, mereka mewujudkan jaringan dengan University Bristol, United Kingdom (UK), Jin Shan Primary School, Singapura dan Kingsford Community School serta Deptford Green School, masing-masing di UK.

Sementara itu, Guru Besar SK Ulu Lubai sejak 1998, Jaul Bunyau berkata, kunci kepada kejayaan sekolah itu ialah kerjasama daripada ibu-bapa kerana merekalah yang paling dekat dengan sekolah berkenaan,

Katanya, mengharapkan orang luar untuk membantu sekolah di pedalaman seperti SK Ulu Lubai amat sukar kerana keadaannya terpencil manakala prasarananya amat terhad.

“Jadi kita kena libatkan komuniti setempat dan guru-guru pula tidak boleh terpisah dengan masyarakat,” katanya.



FAKTA

23 Sekolah Berprestasi Tinggi



1. Sekolah Menengah Imtiaz, Terengganu

2. Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Selangor

3. Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Perak;

4. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor;

5. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Kedah

6. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan, Pahang;

7. Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur

8. Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan

9. Sekolah Menengah Sains Miri, Sarawak

10. Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur

11. Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur

12. Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Pahang

13. Sekolah Menengah Sains Muar, Johor

14. Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, Sarawak

15. SK Convent Muar, Johor

16. SK Seri Biram, Pahang

17. SK Sultan Ahmad Tajuddin, Kedah;

18. SK Setiawangsa, Kuala Lumpur

19. SK (Perempuan) Methodist Kuantan, Pahang

20. SK Sultan Ismail, Terengganu

21. SK Jalan Tiga, Selangor

22. SJK(C) Perempuan China, Pulau Pinang

23. SJK(C) Lick Hung, Selangor.
 
Kita Di Gerik : Sahut cabaran ini kepada semua di Hulu Perak. Kita ada sekolah yang jauh lebih lengkap kemudahan insfrastrukturnya daripada SK Lubai. Semua pihak kena sederap melangkah. PPD, Pentadbiran Sekolah, Guru dan AKS, Murid, Ibu Bapa penjaga dan komuniti setempat. Dengan tidak hanya mengharapkan sekolah, seluruh warga di Hulu Perak perlu menanamkan keinginan tinggi untuk melihat sekurang - kurangnya ada sebuah dua sekolah di Hulu Perak tersenarai sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Mungkin SK Mahkota Sari, mungkin SK Seri Adika Raja, mungkin SK Lenggong, mungkin SK Keroh. Bahkan tidak mustahil juga bagi SK Bongor.

No comments:

Post a Comment