::

:::

Tuesday, December 9, 2008

Padang Bola Bandaran Gerik. Teringat Zaman Dulu - Dulu

Pasukan Bolasepak Ulu Kenderong 26 tahun dahulu..


Dulu kita minat sungguh bermain bolasepak. Kawan - Kawan pun sama. Lepas Asar Padang Bola Bandaran Gerik lah yang jadi tumpuan. Kadang - kadang sampai 50 orang sebelah. Siapa jaringkan gol dulu, yang kena jaring terpaksa buka baju. Bagi yang kaki bangku, bangku yang ada di tepi padang lah yang jadi tempat lepak. Anak muda Gerik yang masih sekolah, yang lepas SPM, yang dah veteran semua berkumpul di Padang Bola Bandaran. Ada kakitangan kerajaan yang baru sehari dua bertugas dah ada kawan. Padang Bola Bandaran jadi tempat cari kawan. Padang bola Bandaran jadi satu - satunya tempat anak - anak muda Gerik berkumpul. Main Bola, bersembang, lepak. Belum Maghrib pakat - pakat balik. Esok datang balik. Tidak kira hujan, mesti ada yang datang.


Kadang - kadang ada macam - macam liga. Hadiah boleh mencecah RM5,000.00 tunai. Ada Piala Wan Mohd Abdullah Yaakob. Ada Piala Presiden. Ada Piala Veteran. Ada Piala Kakitangan Kerajaan. Ada Piala hari Merdeka. Penonton penuh keliling padang. Kalau tiada piala, petangnya penuh dengan anak - muda dan veteran yang sekadar suka-suka, tetapi semuanya di padang bola Bandaran. Tak adalah lumba haram, tak adalah sekadar lepak dan usik anak dara orang.


Tetapi hari ini, padang bola Bandaran dipagar. Pavillionnya dibina besar dan tesergam. Rumputnya dibaiki. Cantik dan hebat. Tapi padang bola Bandaran setiap petang sunyi dan sepi. Bukan anak - anak muda tak minat main bola, tapi dah tak boleh masuk main bola. Kena sewa.


Padang Bola Bandaran tidak lagi menjadi Padang Awam. Anak muda dan veteran tidak lagi boleh berekreasi di situ. Tidak ada lagi 80 - 100 orang anak muda yang saban petang menyepak bola seperti kita dulu - dulu. Setiap petang anak muda kini di siber cafe, lepak dekat padang kapal terbang, memecut motor di jalan Air Suda, lepak di The Store. Veterannya pula lepak dan sembang kosong di Medan Takong, Riaz, Thaibah, As Salam, MK.


Entahlah. Padang Bandaran patut dibuka kembali sebagai Padang Awam. Biarlah anak - anak muda berkumpul dan menyepak bola di situ. Biarlah yang veteran turun untuk beriadah. Biarlah semua baik Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban dan Kadazan (tentera), baik UMNO, PAS atau Keadilan turun ke padang. Menyepak hanya satu bola. Mencapai hanya satu matlamat. Jaringkan gol.


Mungkin, bukan hanya Padang Bandaran Gerik yang hanya hilang status sebagai padang awam. Mungkin banyak lagi padang lain di tempat lain. Mungkin tidak ada untung dari segi ringgit dan sen jika dibuka kepada orang awam, tetapi lihatlah keuntungan dari aspek sosial dan pembangunan sukan itu sendiri.


Sayang sungguh, Padang Bandaran Gerik, tahun ini hanya jadi medan ceramah politik 'balas dendam' apabila ustaz - ustaz PR berapi - api menyerang tanpa bukti terhadap UMNO. Yang peliknya tak pula sebut BN atau MCA atau MIC. Lebih pelik lagi selepas dibacakan ayat - ayat suci al-Quran.


Bukalah kembali Padang Bandaran Gerik untuk orang awam bermain bola. Beriadah. Bertemu kawan. Membuka pagar di padang Bandaran Gerik bermakna kita memagar anak - anak muda kita daripada aktiviti yang tidak sihat. Kerana mereka akan di situ. Menyepak bola.


Cuma kalau dibuka kepada orang awam, janganlah pula yang kata 99.9% yang main bola setiap petang adalah orang Melayu. Salah Melayu lagi..

No comments:

Post a Comment