::

:::

Tuesday, December 9, 2008

Bom Jangka Nan Indah

Simpati kita yang teramat sangat kepada penghuni Bukit Antarabangsa. Semoga Allah menempatkan muslimin yang terkorban bersama roh orang - orang yang soleh. Semoga yang tercedera segera sembuh. Semoga yang kehilangan tempat tinggal akan kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin.
Tragedi ini benar - benar menimbulkan rasa bimbang bila memikirkan berapa banyak lagi tragedi yang mungkin berlaku. Bukan sedikit kediaman di puncak dan lereng bukit. Bukan sedikit juga yang sentiasa hidup dalam keadaan terancam.
Seperti kejadian Highland Tower, banyaklah ekspertis, simpatis, pakar perundangan dan strategis memberikan ulasan. Kepimpinan negara pun mengulangi keazaman untuk mempastikan tiada lagi pembangunan di puncak, lereng dan kaki bukit. Cerita mengenai aduan dan laporan yang tidak diendahkan oleh agensi berkaitan pun menyusul juga.
Kita amat yakin, tanpa ragu-ragu bahawa ini adalah ketentuan Illahi. Tapi manusia dikurniakan akal fikiran. Semua pihak kena memikul tanggungjawab bahawa tragedi yang berulang ini adalah angkara kesilapan manusia.
Kepimpinan negara menentukan undang - undang dan peraturan. Agensi seperti IKRAM dan Alam Sekitar melakukan penyelidikan dan perakuan. Kerajaan Negeri meluluskan tanah untuk projek pembangunan. Pemaju membangunkan perumahan dan menjual. Bank Membiayai. Pembeli, tentulah membeli.
Semuanya ada pilihan. Bukannya hanya satu pihak. Kerajaan memperketatkan lagi peraturan dan undang - undang sedia ada. Agensi tidak memberikan perakuan jika benar tidak selamat. Kerajaan negeri menolak cadangan pembangunan. Bank menolak pembiayaan. Paling penting, jika PEMBELI TIDAK MEMBELI, tidak akan ada pemaju perumahan sanggup mengambil risiko untuk memajukan perumahan di mana tiada siapa yang berani membeli.
Kita, sebagai pembeli, mempunyai kuasa terbesar. Kita berhak memastikan kediaman kita bukan sahaja selesa, mempunyai pemandangan yang indah, lengkap dan mewah, tetapi TIDAK menjadi bom jangka yang hanya menunggu masa untuk membencanakan orang yang kita sayangi.
Di Gerik, tiada perumahan di cerun bukit, tetapi ada juga pemilik rumah yang cantik, indah, mewah namun, lokasinya menggerunkan..

No comments:

Post a Comment