::

:::

Thursday, December 18, 2008

Bukalah minda seluas - luasnya..

Baru ni pergi KL. Kenduri. Sambil tu sempat lepak di The Mall. Pekena teh tarik. Perbualan berkisar kepada pemilihan UMNO. Bersama kita kira hebatlah juga orangnya. Fokus kepada pemilihan teraju Pemuda. Hebat pandangan. Iyalah mereka pemimpin atasan pemuda. Pelbagai pandangan dan ramalan dilontarkan. Intipati sembang - sembang ini juga hebat, 'memilih kepimpinan bukan perkara mudah. Bukan boleh dibuat main - main.'
Tapi kita agak kecewalah juga. Jika pandangan dan penilaian mereka yang dah cukup hebat ini tentang siapa yang patut menerajui pemuda dan UMNO hanya berkisar kepada terima tak terima ahli UMNO kepada calon berkenaan atau hebat tak hebat calon berkenaan di kalangan ahli UMNO atau boleh ke tak boleh calon berkenaan mengubah UMNO (ke mana?), berjasa ke tak berjasa calon berkenaan kepada UMNO, antarabangsa ke calon berkenaan, kuat ke tak kuat calon berkenaan menyogok wang ringgit dan pelbagai lagi lah..tetapi semuanya hanya berkisar kepada ahli UMNO sahaja.
Kitapun kecewalah. Mereka orang hebat.Ada nama dan ada tempat. Tetapi pemikiran mereka hanya menjangkau dalam persekitaran UMNO sahaja. PRU 12 sepatutnya memberikan mesej yang cukup jelas. Kepimpinan yang dipilih untuk terajui UMNO bukan hanya untuk ahli UMNO, tetapi juga untuk mereka yang berada di luar UMNO. Yang tak jadi ahli UMNO. Tak jadi ahli PR. Kita percaya mereka menunggu dengan penuh minat siapa akan terajui UMNO dan sayap -sayap UMNO.Dan bilangan mereka cukup ramai. Lebih daripada ahli UMNO. Mereka sayangkan UMNO. Mereka tidak lupa jasa UMNO. Mereka akan kembali menyokong UMNO. Tetapi mereka ingin lihat, kebijaksanaan ahli UMNO memilih pemimpin mereka Mac ini. Jika kita tidak bijaksana, jika yang dipilih hanya kerana hendak puaskan hati ahli UMNO sahaja (itupun cuma perwakilan sahaja), mereka tidak akan kembali.
Fikirkanlah, siapa yang kita pilih sebagai pemimpin kita nanti, akan menentukan sama ada UMNO akan kembali mendapat sokongan majoriti 'pengundi senyap Melayu' dalam PRU 13.
Jika kita tidak bijak Mac ini, kita menjadi sebahagian fakta yang menyumbang kepada kehancuran UMNO..bukalah minda kita lebih luas.

Thursday, December 11, 2008

Ahmad Jamili hubungi kita

Alhamdulillah. Hari ni sahabat lama kita di MPLP dulu hubungi kita. Ini sahabat terbaik yang pernah kita ada. Di MPLP, kami sekelas dan sebilik. Kita rasa cukup gembira bila sahabat kita ni dah keluar universiti. Isterinya, Ani pun dah keluar universiti. Kita ni..tak tahulah. Cita - cita tu ada..dan akan terus ada.

Kita doakan kesejahteraan sahabat kita ni. Kepada sahabat - sahabat lain masa di MPLP 1984 - 1986 hubungilah kita di gerikkita@hotmail.com.

Bukit Antarabangsa. Betul ke bukan kecuaian manusia ?

Hari ni kita baca kenyataan menteri. Runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa bukan disebabkan kecuaian manusia. Kalau kecuaian manusia, 2-3 tahun lepas bina tentu dah runtuh. Jadi sebabnya... semulajadi. Kalau sebab semulajadi maknanya alam pun cuai menjaga strukturnya sendiri. Pelik! Ada struktur alam semulajadi yang dicipta Allah S.W.T. dah berusia ribuan dan jutaan tahun masih tetap kekal, walaupun keadaan geologinya mungkin sama dengan Bukit Antarabangsa. Sebabnya? Tiada tangan manusia yang rakus mengejar keuntungan, dan tiada manusia yang terfikir berkumpul di situ membentuk satu komuniti berasaskan status.
Orang kampung di Gerik pun tahu, tidak ada cacat cela dan salahnya sistem alam yang dicipta Allah. Gunung tetap disitu. Bukit tetap di situ. Hutan juga tetap di situ. Selagi ekosistem alam tidak diganggu gugat, seluruh struktur alam akan tetap kekal di situ. Selagi bukit tidak ditarah, bukit itu akan tetap di situ untuk dinikmati oleh setiap generasi manusia.
Kita bukan pandai tentang geologi dan sistem semulajadi alam. Ilmu Alam di peringkat SPM pun dapat 8 aje. Tapi rasanya kita, seperti orang kampung di Gerik, pun boleh menilai, kalau dah bukit ditarah dan digondol manakala di kaki, di lereng dan di puncak bukit dibina rumah, kononnya elit dan indah, Gunung Kenderong dan Gunung Kerunai di Gerik pun boleh runtuh. Jadi bukankah itu kecuaian manusia namanya.
15 tahun dulu kenapa projek ini diluluskan? 15 tahun dulu mana perginya kajian EIA yang sepatutnya boleh menjangka, 15 tahun kemudian, runtuhan pasti berlaku? Tidak mustahil, 15 tahun lagi akan ada ulangan kepada tragedi Bukit Antarabangsa ini. Tempatnya ? Kemuncak, lereng dan kaki bukit yang diluluskan untuk dibangunkan. Walaupun kita tahu, kita tetap luluskan. Kita tetap teruskan. Kita namakan dengan nama yang indah - indah. Kita bina rumah yang gah - gah. Harganya pula boleh mebiayai satu projek rumah kos rendah.
Rumah yang sepatutnya menjadi tempat yang paling selamat di dunia ini buat orang - orang yang kita sayangi,tetapi bagi kita yang mampu, begitu CUAI apabila membeli..

Wednesday, December 10, 2008

Demo tergamak buat lagu tu..

Dulu heboh ada pimpinan parti politik yang perjuangkan gagasan 'Malaysia-Malaysian' kena tampar kerana sikap kurang ajar terhadap Raja - Raja Melayu. Selepas itu pimpinan daripada parti yang sama juga cabar sebuah parti supaya 'langkah mayatnya dahulu' kalau nak jadikan Malaysia sebuah Negara Islam. Pimpinan daripada parti yang sama juga menghina sekali lagi Raja - Raja Melayu kononya masih berada dalam zaman feudal. Lepas PRU 12 pimpinan parti yang sama juga heboh nak bela babi di kawasan orang Melayu dalam skala yang cukup besar. Pimpinan parti yang sama juga nak pelbagaikan bahasa di papan tanda, bukan sangat nak tarik pelancong tetapi nak bagi tahu bukan orang Melayu sahaja yang ada di bumi Malaysia ini. Lepas itu pimpinan parti yang sama timbulkan pasal 'makanan seperti anjing' ketika di lokap, tujuannya pun nak semarakkan kegelisahan. Maklumlah yang ramai minat jadi polis pun orang Melayu. Sebelum tu timbul pula cerita pimpinan parti yang sama kata azan dan mengaji tak payah guna pembesar suara. Mengganggu.
Tapi sekarang parti ini dah ada pakatan. Parti ini menguasai Pulau Mutiara. Parti satu lagi memerintah Darul Ehsan. Manakala satu parti lagi lebih hebat tetapi ditenggelami dalam pakatan, memerintah Darul Naim dan Darul Aman. Pakatan ini pakai logo masing - masing.
Kita bukan nak sebut pasal pakatan mereka. Nampak molek benar. Kata nak bela babi secara besar - besaran, semua setuju. Kata tak usah lagi sebut pasal negara Islam, semua setuju.
Cuma, kita pun tak sangka 'demo tergamak buat lagu tu'. Di masjid -masjid dan surau - surau yang semasa pemerintahan UMNO dan BN pun memang demo lah juga kuasainya, demo tergamak tampal poster dan ikat sepanduk yang terang - terang ada lambang parti yang macam roket tu. Lambang parti yang secara terang - terang dah berikan amaran kepada rakan sekutu mereka yang menguasai masjid dan surau, 'langkah mayat aku dulu' kalau nak tubuhkan negara Islam. Yang beritahu kepada rakan sekutu yang menguasai masjid dan surau supaya gugurkan perjuangan mengenai Negara Islam jika nak terus dalam pakatan.
Entahlah, masa BN dan UMNO memerintah dulu, kita tak tergamak nak letakkan lambang BN ke, MCA ke, MIC ke hatta lambang UMNO sekalipun dalam perkarangan masjid walaupun yang datang ke tempat kita tu PM merangkap Presiden UMNO dan Pengerusi BN. Kita hormati masjid dan surau sebagai tempat mengerjakan amal ibadat dan menyatukan orang Islam. bahkan kepimpinan di Gerik pun ingatkan kita jangan ada unsur politik kepartian di masjid. Tetapi demo tergamak buat lagu tu, walaupun dah diarahkan oleh istana jangan politikkan institusi Islam seperti masjid. Lebih memilukan, demo tergamak letakkan lambang parti yang tidak sedikitpun memandang kepada "perjuangan Islam" parti sekutu yang menguasai masjid dan surau.
Hari ini, lihatlah di masjid atau surau, kalau ada program ceramah perdana atau aktiviti PR, terpampanglah poster dan sepanduk yang turut tertera lambang parti yang macam roket tu di masjid dan surau.
Cukup - cukuplah. keadaan di Malaysia ni selepas PRU12 nampak tidak lagi berbilang kaum. Tetapi dah jadi 2 kaum sahaja. Bumiputera Melayu(BM) dan Bukan Bumiputera Melayu(BBM). Ketika BBM sehati sejiwa, senada dan seirama dalam perjuangkan hak mereka, yang BM ini terpecah pula ikut agama. BM Islam BM Bukan Islam. BM Islam pulak pecah 3. UMNO, PAS, Keadilan.
Jadikanlah usaha - usaha penyatuan, penguasaan ilmu pengetahuan, peningkatan dalam penguasaan ekonomi, peningkatan ahklak muda mudi dan melahirkan masyarakat Melayu Islam yang punyai kekuatan sehingga tidak ada yang sanggup sebegitu mudah 'menuding jari telunjuknya' ke muka, sebagai satu JIHAD oleh semua orang Melayu Islam.
Jika tidak, tidak ada sebarang maknanya menjadi bangsa majoriti..

Tuesday, December 9, 2008

Padang Bola Bandaran Gerik. Teringat Zaman Dulu - Dulu

Pasukan Bolasepak Ulu Kenderong 26 tahun dahulu..


Dulu kita minat sungguh bermain bolasepak. Kawan - Kawan pun sama. Lepas Asar Padang Bola Bandaran Gerik lah yang jadi tumpuan. Kadang - kadang sampai 50 orang sebelah. Siapa jaringkan gol dulu, yang kena jaring terpaksa buka baju. Bagi yang kaki bangku, bangku yang ada di tepi padang lah yang jadi tempat lepak. Anak muda Gerik yang masih sekolah, yang lepas SPM, yang dah veteran semua berkumpul di Padang Bola Bandaran. Ada kakitangan kerajaan yang baru sehari dua bertugas dah ada kawan. Padang Bola Bandaran jadi tempat cari kawan. Padang bola Bandaran jadi satu - satunya tempat anak - anak muda Gerik berkumpul. Main Bola, bersembang, lepak. Belum Maghrib pakat - pakat balik. Esok datang balik. Tidak kira hujan, mesti ada yang datang.


Kadang - kadang ada macam - macam liga. Hadiah boleh mencecah RM5,000.00 tunai. Ada Piala Wan Mohd Abdullah Yaakob. Ada Piala Presiden. Ada Piala Veteran. Ada Piala Kakitangan Kerajaan. Ada Piala hari Merdeka. Penonton penuh keliling padang. Kalau tiada piala, petangnya penuh dengan anak - muda dan veteran yang sekadar suka-suka, tetapi semuanya di padang bola Bandaran. Tak adalah lumba haram, tak adalah sekadar lepak dan usik anak dara orang.


Tetapi hari ini, padang bola Bandaran dipagar. Pavillionnya dibina besar dan tesergam. Rumputnya dibaiki. Cantik dan hebat. Tapi padang bola Bandaran setiap petang sunyi dan sepi. Bukan anak - anak muda tak minat main bola, tapi dah tak boleh masuk main bola. Kena sewa.


Padang Bola Bandaran tidak lagi menjadi Padang Awam. Anak muda dan veteran tidak lagi boleh berekreasi di situ. Tidak ada lagi 80 - 100 orang anak muda yang saban petang menyepak bola seperti kita dulu - dulu. Setiap petang anak muda kini di siber cafe, lepak dekat padang kapal terbang, memecut motor di jalan Air Suda, lepak di The Store. Veterannya pula lepak dan sembang kosong di Medan Takong, Riaz, Thaibah, As Salam, MK.


Entahlah. Padang Bandaran patut dibuka kembali sebagai Padang Awam. Biarlah anak - anak muda berkumpul dan menyepak bola di situ. Biarlah yang veteran turun untuk beriadah. Biarlah semua baik Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban dan Kadazan (tentera), baik UMNO, PAS atau Keadilan turun ke padang. Menyepak hanya satu bola. Mencapai hanya satu matlamat. Jaringkan gol.


Mungkin, bukan hanya Padang Bandaran Gerik yang hanya hilang status sebagai padang awam. Mungkin banyak lagi padang lain di tempat lain. Mungkin tidak ada untung dari segi ringgit dan sen jika dibuka kepada orang awam, tetapi lihatlah keuntungan dari aspek sosial dan pembangunan sukan itu sendiri.


Sayang sungguh, Padang Bandaran Gerik, tahun ini hanya jadi medan ceramah politik 'balas dendam' apabila ustaz - ustaz PR berapi - api menyerang tanpa bukti terhadap UMNO. Yang peliknya tak pula sebut BN atau MCA atau MIC. Lebih pelik lagi selepas dibacakan ayat - ayat suci al-Quran.


Bukalah kembali Padang Bandaran Gerik untuk orang awam bermain bola. Beriadah. Bertemu kawan. Membuka pagar di padang Bandaran Gerik bermakna kita memagar anak - anak muda kita daripada aktiviti yang tidak sihat. Kerana mereka akan di situ. Menyepak bola.


Cuma kalau dibuka kepada orang awam, janganlah pula yang kata 99.9% yang main bola setiap petang adalah orang Melayu. Salah Melayu lagi..

Ibadah Korban Di Rumah Bonda




Daripada Aisyah r.a. Nabi S.A.W. bersabda,

"Berkorbanlah kamu dengan hati yang redha, sesungguhnya tiap - tiap Muslim yang menghadapkan sembelihannya ke arah kiblat, maka darahnya, kotorannya, dan bulunya itu adalah kebajikan dan bakti kepada timbangannya pada hari kiamat."

Hadis riwayat al-Bukhari

DikTiq takut tengok orang sembelih lembu. Dulu DikTiq nak tengok video orang sembelih lembu pun Dik Tiq ngeri. Tapi Dik Tiq dah 6 tahun. DikTiq beranikan diri untuk datang ke tempat sembelihan. Hari ni Opah buat korban. Opah walaupun dengan hanya wang pencen Tok Wan setiap tahun buat korban. Tiap kali AidilFitri dan AidilAdha Opah panggil jemaah subuh surau untuk takbir dan tahlil selepas subuh di rumah opah. DikTiq nanti bila dewasa, dah kerja, dah ada kehidupan yang selesa, DikTiq jangan lupa buat korban. Untuk Tokwan, untuk Opah, untuk Ayah, Untuk Umi, kakak dan abang. Tentu juga Diktiq taklupa Mak Dah dan Ayah PakLong.


Tengok.DikTiq tangkap gambar.Di belakang DikTiq lembu korban sedang dilapah. DikTiq jangan salah faham. Kita bukan seksa lembu. Lembu tu pun bertuah kerana dipilih untuk dikorbankan. Kita hanya pilih lembu yang paling baik. Dagingnya kita sedekahkan kepada orang miskin. Mereka tidak selalu dapat makan daging segar. DikTiq pun suka bersedekah. Dulu DikTiq sedekah duit raya DikTiq kepada kawan DikTiq di pra-sekolah. Ayah tak marah, Umi pun tak marah. RM70.00 juga DikTiq sedekahkan.


Jadi, DikTig janganlah lupa ibadah korban. Janganlah lupa untuk bersedekah. Nanti kalau ada pula orang kata orang Melayu - Islam ni tak boleh buat ibadah korban kerana menyeksa binatang atau persendakan agama orang lain, DikTiq kena tentang habis - habisan. Kerana itu adalah syiar agama kita, agama Islam.

Bom Jangka Nan Indah

Simpati kita yang teramat sangat kepada penghuni Bukit Antarabangsa. Semoga Allah menempatkan muslimin yang terkorban bersama roh orang - orang yang soleh. Semoga yang tercedera segera sembuh. Semoga yang kehilangan tempat tinggal akan kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin.
Tragedi ini benar - benar menimbulkan rasa bimbang bila memikirkan berapa banyak lagi tragedi yang mungkin berlaku. Bukan sedikit kediaman di puncak dan lereng bukit. Bukan sedikit juga yang sentiasa hidup dalam keadaan terancam.
Seperti kejadian Highland Tower, banyaklah ekspertis, simpatis, pakar perundangan dan strategis memberikan ulasan. Kepimpinan negara pun mengulangi keazaman untuk mempastikan tiada lagi pembangunan di puncak, lereng dan kaki bukit. Cerita mengenai aduan dan laporan yang tidak diendahkan oleh agensi berkaitan pun menyusul juga.
Kita amat yakin, tanpa ragu-ragu bahawa ini adalah ketentuan Illahi. Tapi manusia dikurniakan akal fikiran. Semua pihak kena memikul tanggungjawab bahawa tragedi yang berulang ini adalah angkara kesilapan manusia.
Kepimpinan negara menentukan undang - undang dan peraturan. Agensi seperti IKRAM dan Alam Sekitar melakukan penyelidikan dan perakuan. Kerajaan Negeri meluluskan tanah untuk projek pembangunan. Pemaju membangunkan perumahan dan menjual. Bank Membiayai. Pembeli, tentulah membeli.
Semuanya ada pilihan. Bukannya hanya satu pihak. Kerajaan memperketatkan lagi peraturan dan undang - undang sedia ada. Agensi tidak memberikan perakuan jika benar tidak selamat. Kerajaan negeri menolak cadangan pembangunan. Bank menolak pembiayaan. Paling penting, jika PEMBELI TIDAK MEMBELI, tidak akan ada pemaju perumahan sanggup mengambil risiko untuk memajukan perumahan di mana tiada siapa yang berani membeli.
Kita, sebagai pembeli, mempunyai kuasa terbesar. Kita berhak memastikan kediaman kita bukan sahaja selesa, mempunyai pemandangan yang indah, lengkap dan mewah, tetapi TIDAK menjadi bom jangka yang hanya menunggu masa untuk membencanakan orang yang kita sayangi.
Di Gerik, tiada perumahan di cerun bukit, tetapi ada juga pemilik rumah yang cantik, indah, mewah namun, lokasinya menggerunkan..

Friday, December 5, 2008

Sedikit bermegah, yang banyak berterima kasihpun tidak

Jalan dari Balai Polis Gerik hingga Batu Dua diturap baru. Cantik dan selesa. Maka bermegahlah penyokong PR kononnya itulah hasil usaha kerajaan PR di Perak. Hanya kerana jalan sejauh 2km itu diturap, bermegahlah mereka kononnya itulah keprihatinan kerajaan PR Perak. Yang selama ini mereka menggunakan jalan Gerik - Kuala Kangsar sejauh hampir 145km yang setaraf lebuhraya, Jalan Raya Timur-Barat menghubungkan Gerik Kelantan sejauh hampir 250km, Jalan Gerik- Pengkalan Hulu sejauh hampir 50km dan terbaru Jalan Gerik - Kupang - Butterworth yang memendekkan perjalanan hampir 45 minit, tak ada pula nak berterima kasih. Dan kita pun dulu tak adalah pula nak bermegah - megah kerana kerajaan negeri masa tu hanya memikirkan mengenai kepentingan dan keselesaan penduduk Gerik bukan untuk kepentingan politik, jauh sekali menjadi riya'.
Lagipun, kalau yang tahu, proses penurapan semula ini dah dirancang sebelum PRU12 lagi. Telah ada dinyatakan semasa sesi YAB MB dulu bersama penduduk awam dan pengarah - pengarah Negeri. Dan semua orang tahu, jalanraya ni kerja JKR. JKR tu Jabatan Persekutuan.Maknanya di bawah kerajaan Persekutuan. Setakat ni PR baru berangan - angan Mat Jenin (kata Presiden PAS ) nak ambil alih kerajaan Persekutuan.
Sebagai orang Melayu Islam, berhentilah dengan sikap ayik nak cari salah orang Melayu juga. Cubalah kita berdiri dalam kesatuan kita untuk mempastikan orang Melayu tidak menang sorak kampung tergadai. Sekali - sekala berhentilah berpolitik sesama kita. Bangsa lain, nampak aje berbeza landasan politik, tetapi kalau menyentuh hak bangsa mereka, perbezaan politik ini mereka ketepikan. Tengoklah apa kata mereka mengenai cadangan YB Ahli Parlimen Jerlun. Sekata, senada dan seirama.
Lagilah kalau kita ni Cikgu. Tentu kita lebih bijak menilai. Tambahan pulak bila melihat bagaimana keputusan UPSR kita merosot teruk. Daripada 221 dapat 5A (2007) tinggal 146 (2008). Jadi tak wajar benar bila kita begitu prihatin dan bersungguh - sungguh dengan politik 'padan muka' ni daripada tugas hakiki kita..."masuk kelas dan mengajar".
Itupun kadang - kadang terlepas juga. Kadang - kadang lewat juga. Kadang - kadang keluar awal juga.

Thursday, December 4, 2008

Icad Bersunat


Alhamdulillah. anak lelaki kita yang sulung ini dahpun selamat bersunat. Icad tak rasa takutpun. Sebabnya Icad yang minta kat Ayah dan Umi. Dulu masa Icad darjah 4 dah nak bersunat dah. Tapi doktor suruh Icad turunkan berat dan saiz badan. Kali ini dah Tahun 5, Icad sendiri minta. Sebabnya Icad rasa tak seronok sebab Icad yang paling besar dalam kelas tapi belum bersunat. Opah kata Icad kena pakai selepang kuning. Sebab itu tradisi keluarga. Ayah dulupun kena pakai selepang kuning juga. Tapi dulu ayah mandi di sungai, lepas tu naik 'gajah' dan di arak hingga rumah Tok Ayah. lepas ini Icad kena ingat. Icad dah masuk alam dewasa. Icad bukan sahaja kena cemerlang di dunia, tapi icad juga kena cemerlang di akhirat.
Adik Tiq, nak tengok Icad pun takut. Tapi Adik Tiq dah janji dengan Ayah dan Umi nak bersunat bila Tahun 3 nak masuk Tahun 4. Adik Tiq pun berani juga.
Cuma lepas ini, janganlah pula ada yang kata Orang Melayu Islam ini tidak boleh bersunat. Melanggar hak asasi manusia. Mendera kanak - kanak. Kalau macam tu...

SPR UMNO.Kembali Kepada Kuasa Akar Umbi

Selepas PRU 12, begitu banyak suara yang menggesa agar pandangan ahli UMNO yang merupakan akar umbi kepada kekukuhan UMNO selama ini diambil kira. Ketidakpuasan hati akar umbi perlu diselami,didengari dan diberikan perhatian sewajarnya.
Kadang - kadang kita tersalah tafsir tentang kehendak akar umbi parti. Alaf ini, kemudahan prasarana diceruk kampung bukan lagi menjadi satu - satunya perkara yang merungsingkan akar umbi parti. Sebagai sebuah negara yang menuju pencapaian sebagai sebuah negara maju menjelang 2020, serata ceruk kampung telah dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, jalanraya, kemudahan pendidikan yang boleh dianggap sempurna, kalau tidakpun, jauh lebih baik jika dibandingkan dengan negara jiran.
Namun akar umbi parti kadang - kadang terasa dipermainkan. Pemilihan kepimpinan dalam UMNO menjadi contoh terbaik. Cadangan YB Tan Sri Muhiyuddin Yassin agar kuasa pemilihan kepimpinan UMNO tidak lagi ditentukan oleh lebih kurang 2500 ahli UMNO yang menjadi perwakilan ke UMNO Malaysia amat bertepatan sekali. Tidak perlulah kita berdolak dalik kerana kaedah pemilihan sedia ada tidak pernah menggambarkan kehendak akar umbi parti.
Apakah keajaiban sebenarnya apabila calon yang mendapat pencalonan hampir 70% daripada seluruh bahagian tiba - tiba tidak terpilih? Apakah akar umbi parti di hampir 70% bahagian ini akan berpuashati dengan keputusan pemilihan sebegini ? Apakah 2500 perwakilan ini mempunyai hak untuk menidakkan kehendak akar umbi di 70% bahagian ? Apakah 2500 perwakilan ini, daripada 3.4 juta ahli UMNO ,merupakan nisbah yang memadai untuk menentukan pucuk kepimpinan parti? Apakah benar 2500 perwakilan ini akan membawa mandat dan amanah bahagian masing - masing dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam perhimpunan Agung nanti atau membawa percaturan diri masing - masing dalam memilih pucuk pimpinan parti? Kerana mandat dan amanah bahagian adalah juga mandat dan amanah daripada cawangan dan di cawangan lah di mana akar umbi parti menunjukkan kesetiaan dan tanggungjawab kepada parti tanpa berbelah bagi dan mereka tidaklah sebegitu jahil sehingga tidak boleh menilai mengapa calon yang sepatutnya menang selesa berdasarkan jumlah pencalonan akhirnya tumbang.
Yakinkah kita bahawa Tan Sri Muhiyuddin Yassin yang mendapat pencalonan tertinggi, bahkan meninggalkan agak jauh pesaingnya akan terpilih sebagai Timbalan Presiden ? Adakah kemungkinan YB Dato Mukhriz yang juga mendapat pencalonan yang begitu selesa akan terpilih sebagai Ketua Pemuda ? Ini adalah kehendak akar umbi yang mencalonkan mereka di bahagian masing - masing. Apakah kesemua perwakilan yang membawa mandat dan amanah bahagian yang mencalonkan mereka akan tetap teguh dengan mandat dan amanah yang dipikul? Apakah terpakai apabila ada bahagian yang mengadakan undi sulit untuk menentukan calon kepimpinan parti, keputusannya tidak diterjemahkan ke dalam pemilihan sebenar? Jika Ya, akar umbi akan menyanjung tinggi mereka sebagai pemimpin yang beramanah, tetapi jika tidak akar umbi ini akan terus - terusan tidak berpuas hati dan terasa dipermainkan dan hak mereka juga untuk menentukan pucuk pimpinan parti tidak dipedulikan dan tidak didengari .
Kembalikan kuasa kepada akar umbi parti. Pinda perlembagaan. Tubuhkan SPR UMNO. Gunakan proses sepertimana Pilihanraya Umum dilaksanakan sebagai proses dalam pemilihan pucuk pimpinan teratas UMNO Pusat termasuk sayap. Berikan kembali hak memilih ini kepada yang berhak. Akar umbi kini telah terdedah dengan begitu banyak pengetahuan mengenai parti dan kepimpinan parti. Mereka juga berhak menentukan mana intan dan mana kaca. Jika tidak sampai bila - bila pun akar umbi UMNO tidak akan berpuas hati.
Dan tentunya, siapa gamaknya yang sanggup berbelanja untuk membeli undi daripada hampir 10,000 wakil bahagian yang layak mengundi. Dan kalau hak memilih ini diperturunkan terus kepada 3.4juta ahli melalui Pilihanraya UMNO, gamaknya siapakah yang benar - benar sanggup menggunakan wang ringgit sebagai ganti undi. Lalu..sebagai sebuah organisasi yang telah terbukti kecemerlangan mentadbir negara, untuk berubah kepada proses pemilihan seperti yang dicadangkan oleh YB Tan Sri M ini, takkanlah tidak mampu..
Kalau tidak mampu, berhentilah bercakap mengenai 'kehendak akar umbi..."

Wednesday, December 3, 2008

Ada Respon,tapi..(Jangan Berundur Dato Mukhriz)

Seorang minta supaya Peguam Negara mengambil tindakan undang - undang. Seorang lagi menegaskan kenapa perlu diubah jika sistem yang ada telah berjaya. Tak apalah, sekurang - kurangnya dah pun ada respon. Tapi..
Mereka tidak akan bersetuju. Mereka sepakat untuk tidak bersetuju. Jika hanya satu perkara yang telah menjadi seperti hak istimewa mereka untuk dilayan sebagai warga Malaysia disentuh dan dipertikaikan, mereka terasa juga. pernahkah ada mana - mana pemimpin Melayu terutama daripada UMNO yang menyuarakan agar Peguam Negara mengambil tindakan terhadap kebiadapan mereka mengguris hati orang Melayu selama ini? Tidak berjayakah mereka hidup di Tanah Melayu ini dengan sistem yang telah disepakati oleh pemimpin - pemimpin mereka terdahulu. Adakah sebarang tindakan disiplin diambil terhadap mana - mana pemimpin mereka yang mengeluarkan kenyataan yang secara terang - terang tanpa berhemah dan mengambil kira kepentingan untuk hidup rukun dan damai mempertikaikan apa sahaja yang dilihat menyebelahi Melayu?
Jangan berundur Dato Mukhriz. Dulunya, kita hanya menyempurnakan adat istiadat Melayu dalam meletakkan Keris sebagai perlambangan kepada kesatuan dan budaya Melayu. Kita mencium keris sepertimana Raja - Raja Melayu sebagai perlambangan betapa cintanya kita kepada bangsa kita sendiri, dan sebagai pelindung kita berikrar untuk menjadi benteng pertahanan paling depan dalam mempertahankan survival bangsa dan agama kita. Untuk itu kita dituntut untuk meminta maaf. Ironiknya kita meminta maaf. Meminta maaf kerana kita juga tidak boleh memperlihatkan kecintaan kita kepada budaya dan bangsa kita sendiri. Dulunya ada pemimpin muda mengeluarkan kenyataan yang kononnya mengguris hati mereka, cepat - cepat juga kita memohon maaf.Dulunya ada pemimpin kita menyatakan fakta sejarah mengenai kedatangan imigran semasa penjajahan British ke Tanah Melayu, dan untuk itu kita juga dituntut untuk meminta maaf. Sebagai bangsa berhemah, kita meminta maaf juga kerana kita tidak boleh bercakap walaupun mengenai sejarah tanah air kita.
Dulunya, ada di kalangan mereka yang mencabar sebuah parti Melayu Islam kedua terbesar di negara ini agar 'langkah mayatnya dahulu' jika berhasrat mewujudkan sebuah negara Islam di Tanah Melayu ini. Ironiknya hari ini, itulah pasangan sebantal dan lebih malang lagi, tiada lagi kedengaran gegak gempita penubuhan Negara Islam dicanangkan. Dulunya ada yang menyebut Melayu juga pendatang dan kini ada yang seolah - olah menjadikan jenaka konsep Ketuanan Melayu, jenaka yang boleh membawa mala petaka kepada keharmonian hidup pelbagai kaum di negara ini. Dulunya ada yang menyatakan bahawa orang - orang Melayu lah yang berada dalam UMNO dan penjawat awam yang mengoyakkan borang permohonan bukan Melayu yang memohon ke perkhidmatan awam.Adakah kita menuntut supaya mereka juga memohon maaf?Adakah kita juga menuntut supaya peguam Negara mengambil tindakan perundangan?
Aduhai pemimpin bangsaku..benarlah Melayu itu bangsa pemaaf. Jika disuruh memohon maaf kita cepat memohon maaf, jika mereka tidak memohon maaf, kita juga cepat memaafkan. Kita bukan ingin menjadi tuan, tetapi kita juga tidak mahu bangsa kita dilihat sebagai bangsa yang kera dihutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan. Carilah di mana negara didunia ini, kecuali masyarakat Red Indian dan orang asli di sebuah benua kecil, mana ada bangsa pribuminya, yang menjadi majoriti, yang mempunyai Raja untuk didaulatkan, yang menjadi tunjang pemerintahan negara, yang tidak pernah menyekat kaum lain untuk hidup kaya raya, aman dan makmur, yang tidak memaksa kaum lain menukar nama mereka,yang tidak memaksa kaum lain supaya meninggalkan kebudayaan dan adat turun - temurun nenek moyang mereka, akhirnya seolah - olah memberikan juga segala ruang dan peluang untuk mereka mengguris kembali hati bangsa pribumi yang cukup pemaaf dan pemurah ini.
Jangan berundur Dato Mukhriz. Legasi Ayahanda Tun mesti ada zuriat yang menyambungnya. Ayahanda Tun telah membuktikan. Melayu tidak tergadai, bangsa lain tidak terabai. 22 tahun semua bangsa menikmati kemakmuran, kemajuan, kekayaan dan kestabilan negara.
Cabaran besar menanti bangsa. Bukan hanya kerana cabaran yang mula berani dilontarkan oleh bukan Melayu, tetapi kerakusan Melayu sendiri dalam mengamalkan politik balas dendam. Jangan tunduk. Usah dilayan kerenah mereka yang telah dimanjakan sejak zaman penjajahan.
Mereka seolah - olah tidak boleh diusik, tetapi mereka boleh mengusik..

Tuesday, December 2, 2008

Medan Takong, makan berkuahkan hujan


Medan Takong,namanya unik. Letaknya selepas Balai Bomba Gerik, beloklah ke kanan dan selepas simpang 4 belok pula ke kiri. Disitulah satu - satunya dihimpunkan gerai - gerai makanan Melayu di satu tempat di tengah bandar Gerik. Makanannya, Alhamdulillah sedap - sedap belaka. Daripada gulai kampung, masakan siam hinggalah kepada ikan bakar. Semua ada. Dan dibuka sehingga jam 1.00 pagi. Ketika bandar bandar kecil lain mati menjelang jam 9.00 malam, Gerik hidup sehingga tengah malam kerana Medan Takong.

Tempat strategik ini bukan hanya tumpuan orang luar yang berkunjung atau singgah di Gerik, tetapi tempat pertemuan sahabat handai bertanya khabar dan bersenda gurau. Tapi kalau hujan, dan sekarangpun musim hujan, bocornya di sana sini. Itulah kadang - kadang pengunjung makan berkuahkan hujan. Dialih meja ke kiri pun kena, ke kanan pun kena.

Mungkin boleh dipertingkatkan. Kita percaya MDG mempunyai perancangan yang baik untuk mempertingkatkan segala aspek agar Medan Takong menjadi mercu tanda utama bandar Gerik. Gerainya pun tentu boleh dicat dan diseragamkan. Yang tutup kedai minta dibukakan. Letakkan pula pemancar internet tanpa wayar. Susun kerusi dan meja taman. Sambil makan tentu ada yang boleh memanfaatkan kemudahan di situ. Dan yang pentingnya medan Takong benar - benar dapat menakung air hujan, bukannya menitis ke dalam makanan pelanggan. Barulah sesuai dengan namanya Medan Takong. Selamat Datang dan Menjamu Selera.

SYABAS, Dato' Mukhriz

Selama ini apa sahaja yang dikatakan sebagai hak istimewa orang Melayu akan sering dipertikaikan. Jika jawatan perkhidmatan awam dipenuhi oleh orang Melayu, salahnya orang Melayu juga. Jika sekolah kebangsaan tidak mendapat sambutan masyarakat bukan Melayu, salahnya juga orang Melayu. Jika masyarakat bukan Melayu mula menumpang teduh kepada yang lain, salahnya orang Melayu juga. Jika orang bukan Melayu menguasai kek ekonomi negara, salahnyapun orang Melayu juga. Jika bukan Melayu menguasai sektor profesional seperti guaman, jurutera dan doktor, salahnya pun mungkin orang Melayu juga. Gamaknya taraf hidup, kekayaan dan kemakmuran yang dinikmati dengan jauh lebih baik daripada orang melayu di negara tercinta ini adalah juga kerana salahnya orang Melayu. Dan kalau ada kenyataan yang mengguris hati orang Melayu dan mendapat respon keras daripada pemimpin dan NGO Melayu, akhirnya yang salah suratkhabar Melayu juga. Hinggakan Fatwa yang dikeluarkan untuk menjaga keimanan dan akidah masyarakat Islam yang majoritinya Melayu juga dianggap sebagai satu kesalahan besar Melayu dalam negara yang berbilang bangsa ini.Semua tentang Melayu seolah - olah menjadi sesuatu yang tidak boleh, tidak memberi manfaat bahkan mungkin dilihat sebagai ancaman kepada bukan Melayu. Dan gamaknya juga, Melayu ini tidak sepatutnya menikmati apa sahaja di tanah air nya sendiri. Ada sahaja yang tidak kena pada kacamata beberapa kerat pemimpin bukan Melayu ini.
Sekurang - kurangnya hari ini, ada juga seorang pemimpin muda yang berani menyuarakan cadangan untuk membubarkan sistem pendidikan berasaskan kaum dan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan kebangsaan. Selepas 2 hari, yang memberi respon nampaknya hanya pemimpin - pemimpin Melayu, itupun penuh berhati - hati dan berhemah. Mereka yang lantang sebelum ini mempertikaikan apa sahaja tentang Melayu termasuk tentang asal usul Melayu dan hak Melayu sebagai tuan rumah di tanah air sendiri, membisu seribu bahasa. Itulah..hanya satu perkara yang telah lama tercatat dalam penyata Razak tetapi tidak dilaksanakan, yang tentunya menyentuh tentang hanya satu perkara daripada sekian banyak keistimewaan yang mereka kecapi di bumi bertuah ini, apakah ada walau sedikit kemungkinan untuk mereka menyetujuinya.
Begitulah yang sering diberitahu, jika kita tidak mahu apa yang kita nikmati hari ini disentuh oleh orang lain, maka janganlah pula kita mengganggu gugat apa yang orang lain nikmati. Hiduplah dalam suasana saling bergandingan, bahu - membahu antara satu sama lain. Mewujudkan rasa satu bangsa satu negara berkehendakkan keikhlasan yang lahir daripada hati budi setiap kaum. Bukan dengan menidakkan, mempertikaikan dan mengguris hati satu kaum lain. Masyarakat Malaysia hari ini telah berjaya hidup dengan harmoni, makmur dan aman damai selama ini sedangkan kita melihat bagaimana di negara jiran, pertikaian kaum dan agama sering membawa kepada kematian, kemiskinan dan kehidupan yang porak poranda. Satu bangsa satu negara di tanah air tercinta ini mestilah wujud mengikut acuan kita sendiri. Dan sebenarnya berbanding negara lain kita sudah cukup berjaya.
Percayalah, jika konsep satu bangsa satu negara seperti mana amalan beberapa buah negara jiran, yang menjadikan kebudayaan masyarakat pribumi sebagai teras, sanggupkah mereka paling tidak menukar nama, sedangkan memakai songkok pun boleh menjadi isu besar kepada mereka.
Cubalah dengan pandangan Dato Mukhriz, dan kita lihat bagaimana respon mereka jika sekelumit hak mereka diganggu gugat. Syabas Dato.

Monday, December 1, 2008

Ketuanan Melayu, Kerajaan Melayu, Bukan Melayu

Berbangkit lagi!!Kita pun hairan. Selepas PRU12, semuanya tentang Melayu di tanah air sendiri tidak boleh itu, tidak boleh ini, tidak boleh begitu dan tidak boleh begini. Tetapi dah jadi resam Melayu, bangsa beradab dan berhemah, jika jari telunjuk sekalipun dihalakan kepada mereka, bangsa yang penuh dengan kesantunan ini akan tetap menunjuk dengan ibu jari dan 4 jari lain tergenggam rapi.
Malanglah bagi sebuah negara yang terbina daripada permuafakatan pemimpin besar pelbagai kaum, yang mencapai kesepakatan selepas sekian banyak Melayu mengorbankan jiwa raga mereka menentang penjajahan, yang mengorbankan hak ketuanan semasa itu atas dasar tolak ansur yang tinggi dan menerima kaum lain sebagai warga di Tanah Melayu dan terus menghormati kesepakatan itu sehingga ke saat - saat jari telunjuk dihalakan ke muka mereka sekalipun, melihat bagaimana permuafakatan pemimpin besar kaum masing - masing dahulunya cuba dihancurkan oleh beberapa orang pemimpin yang jasanya kepada tanah air belumpun sebesar hama.
Benarkah bila BN ditimpa mala petaka, hanya UMNO dan Melayu yang bersalah. Benarkah sekarang ini rakyat menolak parti berasaskan kaum ( tentuya ditujukan kepada UMNO dengan keahlian Melayu dan Bumiputera seramai 3.4 juta orang ). Kita percaya, kalau calon pembangkang Melayu diletakkan di kawasan majoriti bukan Melayu pun, mereka tidak akan menang. Begitu juga jika calon bukan Melayu diletakkan di kawasan majoriti Melayu, mereka juga tidak akan menang.
Di Perak, 34 kerusi ditandingi UMNO, 27 berjaya dimenangi. Tetapi 25 kerusi yang ditandingi komponen BN, MCA, MIC, dan PPP hanya 1 kerusi dimenangi. Lalu, benarkah juga UMNOlah punca kepada kejatuhan kerajaan negeri Perak hari ini.
Cerminlah diri sendiri. Binalah rasa tanggungjawab bersama dalam menghadapi detik - detik sukar ini. UMNO telah memperlihatkan kesungguhan untuk turut bertanggungjawab terhadap mala petaka yang menimpa BN dalam PRU 12, walaupun sebenarnya majoriti orang Melayu masih melihat UMNO sebagai wadah yang tetap konsisten terhadap masa depan dan nasib Melayu di tanah air sendiri.
Hargailah bagaiman UMNO mengenakan tindakan disiplin terhadap seorang ketua bahagian hanya kerana menyatakan sesuatu yang mengguris perasaan bukan Melayu, sedangkan beberapa pemimpin parti komponen terus - terusan menyatakan sesuatu yang melukakan hati orang Melayu tanpa dikenakan sebarang tindakan.
Gerik..tanyalah kepada Ahli Parlimen Gerik mewakili Gerakan dalam BN yang menang di kawasan di mana pengundi bukan Melayu hanya seramai tidak sampai 5,000 orang, bagaimanakah penerimaan Melayu Gerik ketika kempen PRU12, dan selepas kenyataan yang mengguris hati Melayu terutama di Gerik, adakah beliau menghadapi masalah untuk pulang menjalankan tanggungjawabnya kepada pengundi Melayu di Gerik.
Cukup - cukuplah..Melayu tidak pernah menyentuh tentang apa yang dinikmati oleh bukan Melayu. Mereka menikmati kekayaan dan kemakmuran ekonomi, mereka menikmati kehidupan sebagai bangsa yang telah mempunyai tamadun dan budaya sendiri yang tinggi tanpa sedikitpun rasa irihati orang Melayu walaupun Melayu berada dalam peratusan teratas sebagai penduduk termiskin, mereka menikmati sebahagian besar hidangan yang walaupun drencanakan untuk orang Melayu, mereka tidak rugi apa -apa pun jika benar sekalipun Melayu menjadi TUAN di rumah sendiri.
Sama ada ketuanan Melayu atau kerajaan Melayu, bukan Melayu tidak pernah rugi menjadi warga di Tanah Melayu ini bahkan mereka mungkin lebih beruntung jika dibandingkan dengan bangsa mereka di tanah nenek - moyang mereka.
Kita di Gerik..hanya membicarakannya di kedai - kedai kopi di Medan Takong, Thaibah, Riaz, MK, As Salam, Restoran Yunus.......