::

:::

Saturday, June 13, 2009

1Malaysia: Memahamkan rakyat..

Tadi terjumpa buku Sejarah Pilihanraya di Malaysia. Sempatlah baca. Bab pertamanya tentang sejarah pemerintahan di Malaysia. Teringat pula tentang berita yang teman dah lupa tarikh siarannya mengenai satu perhimpunan besar - besaran membabitkan pelbagai peringkat masyarakat termasuk pembangkang untuk melancar dan memperjelaskan konsep 1Malaysia. Rakyat didahulukan, Prestasi diutamakan.
Teman beranggapan dalam memperjelaskan konsep mengenai 1Malaysia ini, ada perkara yang lebih utama untuk diberikan pemahaman dan penghayatan oleh seluruh rakyat Malaysia. Pemahaman dan penghayatan mengenai sejarah kegemilangan, yang ditandai dengan kegemilangan Empayar Melaka, kejatuhan ke tangan penjajah, perjuangan pra dan pasca kemerdekaan, perlembagaan negara, keadilan Islam, rukun negara, institusi raja - raja, kontrak sosial, keganasan komunis dan darurat, 13 Mei 1969, era kepimpinan 5 Perdana Menteri terdahulu, kekayaan, keamanan dan kemakmuran yang dinikmati kerana perpaduan rakyat, kestabilan politik, keseimbangan pengagihan kek ekonomi, sensitiviti kaum dan agama yang dijagai, kebebasan dalam ruang lingkup masyarakat majmuk Malaysia, dan kesedaran mengenai hak asasi manusia dalam acuan Malaysia sendiri.
Segalanya mengenai kenegaraan itu yang perlu difahamkan terlebih dahulu. Pemahaman ini dititipkan sepanjang masa ke dalam minda rakyat sama ada melalui media elektronik, media cetak ataupun media maya. Sebelum pelancaran secara besara- besaran ini, rakyat, terutama generasi selepas 13 Mei 1969, perlu dipasakkan dengan ingatan mengenai sejarah perjalanan tanah air mereka sendiri. Perjalanan yang bukan mudah, sehingga terlahirnya negara Malaysia seperti hari ini. Negara yang didiami oleh pelbagai kaum, agama dan budaya, yang berjaya diwujudkan, tanpa perlu mana - mana kaum, merampas harta dan jiwa satu kaum yang lain. Negara Malaysia yang jauh amat berjaya, berbanding dengan negara - negara lain yang menghadapi masalah perkauman, agama, dan etnik. Malaysialah contoh, di mana 3 kaum terbesar dan kaum minoriti yang lain dapat hidup tanpa sangsi, takut serta berjaya dalam pelbagai bidang kehidupan.
Itulah yang perlu difahamkan terlebih dahulu. Dalam keadaan negara dimana usaha meningkatkan semangat perkauman yang tebal akibat kepentingan politik, maka 1Malaysia akan boleh direalisasikan, jika semua rakyat mengetahui mengenai sejarah asal usul pembentukan Malaysia yang merdeka, aman, damai, makmur dan sejahtera. Semua rakyat perlu memahami dan menghayati sejarah kewujudan negara ini, yang bukannya datang sendiri tanpa kebijaksanaan pemimpin terdahulu serta kesungguhan rakyat yang pelbagai kaum berusaha mencapai kewujudan negara yang terbaik untuk mereka diami. Itulah acuan yang dibentuk oleh kepimpinan terdahulu daripada pelbagai kaum, dan acuan inilah yang perlu difahami, dipupuk, dihayati dan dipertahankan.
Pemahaman inilah, yang akan memastikan 1Malaysia juga akan difahami, dipupuk, dihayati dan dipertahankan dalam acuan yang telah ditentukan 52 tahun sebelum kemerdekaan negara.
Kita di Gerik percaya, tanpa menyusur sejarah terlahirnya Malaysia seperti hari ini, 1Malaysia akan juga terlahir berdasarkan tafsiran yang berbeza - beza mengikut acuan kaum masing - masing, dan tentunya akan jauh berbeza daripada apa yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri.

Friday, June 12, 2009

DENGGI: Kementerian Kesihatan Mengaku kalah perang..

Utusan Malaysia 10 Jun 2009 halaman 2. Sepatutnya diletakkan sebagai berita besar muka hadapan. Tulisan pula guna warna merah. Tajuknya saja menggerunkan kita. Denggi bukan penyakit ringan. Denggi penyakit yang membawa maut. Kementerian Kesihatan melalui Ketua Pengarah nya mana boleh ada sikap menyerah kalah dan putus asa. Tidak ada sebarang alasan pun untuk KK isytihar tewas dalam peperangan menentang denggi. Kelemahan doktor sama ada di hospital kerajaan atau swasta sepatutnya ditangani bukannya seolah - olah KK tidak dapat mengawal doktor - doktor ni. Tentu ada kuasa, akta, undang - undang yang boleh mengawal doktor - doktor jika berkaitan dengan kesejahteraan rakyat. Kalau pemeriksaan jentik-jentik di premis, pantang terjumpa, terus aje saman. Tapi jika benar doktor - doktor ini tidak profesional dalam tugasannya, terutama berkaitan dengan wabak yang berbahaya ini, takkan KK terus sahaja isytihar kalah. Ini bukan kekalahan menentang denggi, tetapi kekalahan KK dalam menghadapi doktor-doktor yang tidak menjalankan tugasnya dengan profesional.
Ini baru denggi. H1N1 bagaimana pula. lepas sahaja isytihar negara bebas daripada H1N1, dah ada 7 kes baru. Kita pun tak faham bagaimana sebegitu ramai yang terlepas daripada pintu masuk negara. Agaknya lepas isytihar H1N1 bebas, segala bentuk pemeriksaan pun dilonggarkan. Mungkin juga atas alasan supaya pelancong tidak terasa terganggu dengan pemeriksaan ketat bawaan H1N1 di pintu masuk negara. Fikirlah tentang kesejahteraan rakyat. Orang kampung pun tahu denggi dan H1N1 ni bukan penyakit yang boleh diubati dengan panadol. Janganlah lepas ini Ketua Pengarah Kesihatan, umumkan pula KK sudah tewas perang dengan H1N1.
Ikhtiarlah walau bagaimana cara sekalipun jika membabitkan kesejahteraan rakyat. Kerisauan rakyat dengan denggi dan H1N1 ni jangalah ditambahkan lagi dengan kerisauan tentang sikap berputus asa KK dalam isu kesihatan rakyat.

Kita di Gerik, kadang - kadang tertanya - tanya mengenai pemeriksaan kesihatan yang diwajibkan kepada pendatang asing kerana penyakit yang telah pupus dan tidak pernah ada, tiba - tiba muncul kembali. TB, jangkitan bawaan tikus dan pelbagai penyakit pelik - pelik..dah menyerah kalah juga ke..

Wednesday, June 10, 2009

Iktibar Daripada Tragedi Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan

Kejam dan zalim. Mangsanya Imam yang sedang membaca Fatihah rakaat kedua dan jemaah Muslim yang sedang bersolat jemaah Isya'. Tempatnya pula di Masjid Furqan, Kg Air Tempayan di Selatan Thailand. Hanya di sempadan tanah air kita.
Siapakah yang tergamak melakukan pembunuhan terhadap muslim yang sedang bersolat dan di dalam rumah Allah ? Mungkinkah seorang Muslim juga terhadap saudara Muslim yang lain. Yang mengucapkan syahadah yang sama, menyembah Allah yang satu. Atau segerombolan bukan muslim yang membarakan api permusuhan agama. Atau kumpulan penjenayah yang merancang supaya sentiasa ada permusuhan antara Muslim dan Buddha di Selatan Thailand yang mempunyai pautan geografi, kebudayaan, pertuturan dan keturunan dengan Melayu di tanah air kita ini.
Ini semua kemungkinan yang boleh dijelmakan, tetapi, kita di Malaysia tidak ketahui siapakah yang bertanggungjawab terhadap peristiwa yang tidak berperi kemanusiaan ini. Dari jauh ini,AlFatihah, kita memanjatkan semoga roh mereka yang terkorban ketika sedang bersolat diterima Allah sebahagi shuhadah dan ditempatkan bersama mereka yang dirahmati.
Namun kita di Malaysia, tragedi ini amat besar iktibarnya jika kita mahu membuka mata dan minda kita. Apakah kemungkinan seperti ini, gambaran darah dan jasad dalam masjid , surau, tokong, kuil dan gereja boleh berlaku dalam negara kita yang aman dan damai ini ? Jawapannya YA.
YA jika kita terus cuba untuk keluar daripada acuan pembentukan negara kita yang merdeka 52 tahun dahulu. Acuan, kesepakatan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui menjelang kemerdekaan negara. Kesepakatan yang membawa kemakmuran, keharmonian, perpaduan dan kehidupan masyarakat majmuk yang dicemburui dan gagal dicapai oleh negara - negara lain. Meskipun sejarah keutuhan perpaduan dan muhibbah pelbagai kaum ini dicemari dengan titik hitam 13 Mei 1969, namun kita yang pelbagai ini cepat belajar untuk terus kembali kepada asas kesepakatan yang dipersetujui bagi membolehkan negara kembali makmur dan aman. Natijahnya, kita jugalah, dalam kepelbagaian kaum, etnik, budaya dan kepercayaan, berjaya melahirkan negara Malaysia yang disanjung dan dikagumi oleh seluruh dunia dan mereka ingin belajar daripada Malaysia, bagaimana kita dapat hidup aman dan makmur dalam kepelbagaian ini.
Tetapi secepat mana kita belajar begitulah cepatnya juga kita mudah lupa. Kononnya atas nama pemodenan sosial sejagat, sensisitiviti kaum bukan lagi menjadi perkara yang dititik beratkan. Agenda politik yang hanya bermatlamatkan untuk menguasai kepimpinan negara dan menumbangkan kepimpinan sedia ada, dengan cara menghalalkan apa sahaja cara hatta bermain dengan api permusuhan kaum yang disemarakkan, seolah - olah menjadi mainan politikus bebal dan rakus untuk menawan Putrajaya. Mereka bukan warga yang tidak sedar tentang kemungkinan tragedi seperti di Masjid Furqan boleh berlaku di negara ini. Tentunya bukan sahaja di masjid, bahkan di tokong, kuil dan gereja. Api yang mereka semarakkan ini membakar perlahan demi perlahan yang memungkinkan akan ada letusan yang tidak dapat dipadamkan lagi. Sayang sungguh jika nanti kita mewariskan kepada anak - anak dan cucu-cicit kita negara yang penuh dengan darah dan pengorbanan yang sia - sia, kerana api yang kita nyalakan hari ini.
Kita di Gerik, percaya bahawa kemakmuran dan kekayaan yang dinikmati oleh kaum lain di negara ini adalah hanya kerana Melayu Bumiputera, yang menjadi majoriti dan murah hati, sedia berkongsi dengan semua warga. Namun kita juga amat tidak berkenan jika sudah diberikan betis, paha pun mereka hendakkan..

Tuesday, June 9, 2009

Bahasa Inggeris : Wajib di SPM..

Teman masuk Darjah 1 di SRJK Inggeris Gerik pada tahun 1970. Semasa itu Almarhum Nenda yang pernah menjadi Wakil Rakyat di Gerik, menggesa anak - anak lelaki di kampung teman dihantar ke SRJK Inggeris Gerik. Sekitar 60-an dan 70-an, kesedaran daripada orang - orang kampung teman, yang 100% Melayu, yang hanya mengaji di pondok dan sekolah Melayu, menyahut gesaan menghantar anak - anak lelaki ke SRJK Inggeris, sedikitpun tidak mencacatkan jati diri mereka sebagai Melayu dan Islam.
Pada masa itu, teman kagum sungguh melihat beberapa anak - anak kampung yang berbendang dan menoreh getah, menguasai Bahasa Inggeris dengan begitu baik sekali. Bahkan beberapa anak - anak muda kampung mendapat pekerjaan yang baik dalam perkhidmatan kerajaan.
Tetapi teman dan rakan - rakan kampung yang lain, yang masuk Darjah 1, menjadi kumpulan pertama yang memulakan aliran Bahasa Melayu di SRJK Inggeris. Kerajaan pada masa itu membuat keputusan menukarkan bahasa pengantar di SRJK Inggeris daripada BI ke BM. Mujurlah pada masa itu, urusan kami dengan guru - guru di kelas atau di Bilik Guru masih lagi dalam Bahasa Inggeris. Dalam kelas, kecuali BI, mata pelajaran lain yang dulunya diajar dalam BI (kecuali BM dan Pendidikan Islam), diajar dalam BM.
Akhirnya, sebahagian besar antara kami kehilangan taring kami dalam berbahasa Inggeris. Daripada keputusan C dalam Penilaian Darjah 5, dapat 7 dalam SRP akhirnya dapat 9 dalam SPM. Begitulah bagaimana rentetan kehilangan penguasaan BI kami, anak - anak kampung yang berbendang dan menoreh getah, akibat kegagalan kita memberikan tempat yang sewajarnya terhadap penguasaan BI.
Hari ini, PPSMI mengembalikan anak - anak teman dalam berbahasa Inggeris. Bahkan kekadang teman seronok melihat anak - anak teman berbahasa Inggeris semasa mereka bermain di laman rumah. Lebih hebat lagi kekadang teman dan isteri terpaksa tanyakan anak - anak makna beberapa istilah BI. Sebab itulah teman risau kembali, apabila penentangan terhadap PPSMI ini akhirnya akan mengulang sejarah persekolahan teman, yang kehilangan penguasaan dan taring teman dalam BI.
Untuk itulah, teman menyokong penuh terhadap cadangan YAB Menteri Pelajaran mensyaratkan wajib lulus BI untuk mendapat sijil SPM. Hakikat keperluan penguasaan BI di kalangan anak - anak kita sudah menjadi keperluan yang hakiki dalam menjalani kehidupan mendatang. Selepas syarat wajib hanya lulus, kita pertingkatkan pula syarat mendapat kepujian dalam BI pula untuk dapatkan Sijil SPM.Percayalah, ketika kaum lain menguasai bahasa ibunda mereka, BM dan BI, kita masih tetap-tetap juga meletakkan generasi anak kita ini ke dalam tempurung. Kita berarak dan berdemontrasi di atas jalanan,( sebahagiannya belajar dalam Bahasa Arab semasa di sekolah dan Universiti- tak ada jadi macam Pak Arab pun ) ketika kaum lain melihat betapa bodohnya kita bersungguh - sungguh meletakkan anak - anak kita ke dalam tempurung.
Kita di Gerik, mengucapkan tahniah kepada Penerima Anugerah Pejuang Bahasa, yang tentunya boleh berbahasa Inggeris dengan fasih sekali, yang diberikan PAS. Masih terlalu banyak lagi aspek perjuangan bahasa Melayu yang perlu diperjuangkan. Kita kadang - kadang rasa sedih benar, bila beli mesin pengisar pun, manual penggunaannya tidak adapun ditulis dalam Bahasa Melayu. Usahle kalau perjanjian pinjaman ke, insuran ke, guaman ke..aduhhhh..

Kuota 30% Ekuiti Bumiputera: Tahniah Pemuda PAS..

Terkejut le juga. Pemuda PAS meluluskan usul supaya kerajaan mengekalkan kuota 30% ekuiti peganganBumiputera dalam sektor ekonomi. Terkejutnya kerana dulu PAS beria - ia benar berjanji dengan bukan Melayu terutama semasa PRU, tiada ekuiti 30% bumiputera, tiada hak istimewa bumiputera bahkan kata PAS semasa itu, bukan Melayu pun boleh jadi PM.
Bagaimanapun, teman nak ucapkan tahniah le kepada Pemuda PAS dibawah pimpinan baru ini. Keberanian mengemukakan dan meluluskan usul ini sekurang - kurangnya menunjukkan keberanian Pemuda PAS menongkah arus dalam pakatan pembangkang. Kita akan mengerti reaksi DAP. Juga kita memahami reaksi Gerakan dan MCA. tetapi sekurang - kurangnya kepayahan UMNO dalam memastikan kuota ini dipertahankan, telah ada yang memberikan sokongan. Dan sokongan pula datangnya daripada Pemuda PAS. Sekurang - kurangnya Pemuda PAS berpijak di bumi nyata dalam melihat betapa Melayu dan Islam ini masih tetap perlu diberikan pembelaan dan keistimewaan.
Inilah pembangkang yang kita kehendaki. Apa yang terbaik untuk Melayu dan Islam, janganlah semuanya hendak dibangkang. Bukan setakat dibangkang sahaja, bahkan dijadikan juadah maki hamun dalam ceramah PAS, walaupun mereka tahu bahawa usaha - usaha UMNO adalah membawa kebaikan kepada Melayu dan Islam.
DAP, Gerakan dan MCA, dalam hal ini, serta merta memperlihatkan respon yang negatif. Kita tidak tahu, dengan stastitik kadar kemiskinan tertinggi masih dimiiki oleh masyarakat Melayu, ketiga - tiga parti ini masih senada untuk melihat orang Melayu diperkotak katikkan dalam dunia ekonomi yang mereka kuasai. Liberalisasi dalam 27 subsektor perkhidmatan yang diumumkan kerajaan dijadikan asas pula kepada mereka untuk melihat keseluruhan sektor ekonomi diliberalisasikan sepenuhnya. Dan kita amat yakin, cita - cita mereka hanyalah untuk melihat kepayahan Melayu dalam sektor ekonomi nanti akan membolehkan mereka menguasai sepenuhnya kekuatan ekonomi negara. Dan penguasaan ekonomi akan menjadi pula senjata untuk mereka menjenguk - jenguk pula penguasaan dalam keseluruhan aspek kehidupan di negara kita ini. Gembiralah mereka jika akhirnya Melayu juga menjadi melukut di tanah ibundanya sendiri.
Kita di Gerik, melihat usul Pemuda PAS ini, adalah jelmaan kepada Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden PAS sendiri..alangkah indahnya jika akhirnya perseteruan umpama berkerat rotan antara UMNO - PAS ini berkubur, dan kita amat yakin tiada siapa pun yang berani sewenangnya mengusik kepentingan Melayu dan Islam. Allahuakbar !

Kerajaan Perpaduan: Reaksi DAP keterlaluan, bagaimana PAS?

Kerajaan Perpaduan. Konsepnya masih samar. Maknanya hasrat mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden PAS, Dato Seri Hadi Awang, masih diperingkat mewar-warkan cadangan. Maknanya kena ada rentetan perbincangan, sama ada terbuka atau tertutup, untuk merangka konsep dan seterusnya melaksanakan cadangan. Masih terlalu panjang. Namun begitu beberapa aspek yang terlalu mudah untuk disepadukan,seperti kepentingan Melayu dan Islam yang membabitkan UMNO dan PAS sepatutnya tidak perlulah perbincangan yang panjang.
Kita memberikan sokongan. Sokongan sepenuh hati jika apa yang dihasratkan dalam pembentukan kerajaan perpaduan ini, membawa kepada kedaulatan dan pengembangan subur syiar Islam dan kelangsungan Melayu di tanah air sendiri.
Namun begitu, kita tertarik untuk melihat respon PAS berhubung sikap menolak cadangan kerajaan perpaduan ini oleh DAP dan PKR. Bahkan kenyataan DAP nampak agak keras dan seolah mengarah Presiden PAS dalam memberikan penjelasan kepada pakatan pembangkang. Bahkan penafian DAP bahawa DAP telah dibawa berbincang seolah - olah mengatakan Presiden PAS berbohong. PKR pula melalui Azmin Ali, memperlekehkan harat dan cadangan PAS dengan mengatakan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan ini hanyalah agenda peribadi Timbalan Presiden PAS. Kita perturunkan petikan kenyataan DAP dan PKR seperti yang tersiar dalam Berita Harian 09 Jun 2009.
"Tapi, yang mahu teruskan adalah Pas, jadi mereka kena bagi penjelasan. Kerajaan perpaduan apa yang mereka maksudkan? Mereka mesti jawab pada mesyuarat itu kelak," katanya di Georgetown, semalam. :: Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP::
“PKR juga tidak rasa tergugat dengan kenyataan beliau (Nasharuddin) yang mahu mengadakan rundingan dengan Umno kerana ia bukan melambangkan pendirian Pas, tetapi individu dan kami tidak akan layan pendirian beliau..,” katanya. :: Azmin Ali, Naib Presiden PKR ::
Kita di Gerik, hendak melihat respon PAS, kerana kenyataan ini sebenarnya dilihat memperlekehkan PAS yang beria - ia menyatakan dalam Muktamar baru - baru ini, akan menjadi parti yang dominan dan mengetuai pakatan pembangkang. Kalau dengan desakan sebegini pun PAS tunduk kepada DAP dan PKR, berhentilah daripada bercita - cita untuk mengetuai pakatan..

Monday, June 8, 2009

Iklan Bintang Hatiku...

Ibu tanya:Ini apa ? Anak jawab:Segitiga



Ibu tanya lagi: Ini bintang apa? Jawab anak: Ini bintang hatiku...

Habis itu..ini bintang apa pulak..


Kita di Gerik, entahlah, lihat iklan di TV kita, rasa tak berapa selesa, mungkin tak apa untuk orang lain, tapi kita..teringatkan Gaza..


Sunday, June 7, 2009

Cuti Rehat: Ziarah Mentua..

Jumaat hingga Ahad baru ni, teman berehat le sekejap dari mencatat sesuatu di blog ini. Menziarahi mentua di Kepala Gajah, Simpang Ampat, Tasek. Cuaca di kampung mentua ni panas sungguh. Tidak kemana le teman ngan anak - anak. Memerap di rumah ajelah. Lagipun, bukan le selalu teman balik bercuti ke rumah mentua. Jadi teman manfaatkan untuk bersama mentua. Tiada blog, tiada beli belah.
Di kampung mentua pun sekarang ini, pembangunan begitu pesat. Perniagaan dan perumahan bagaikan cendawan lepas hujan. Cuma teman harapkan pembangunan yang pesat ini tidak akan meminggirkan orang Melayu di situ. Biasalah, orang Melayu kadang - kadang gagal menatasi cabaran akibat kepesatan pembangunan. Tambahan dengan nilai tanah yang semakin melambung di situ, teman harap masyarakat Melayu di kampung mentua teman akan terus bertahan, dan lebih penting turut sama dalam kepesatan pembangunan di situ. Jangan le nanti di tanah kampung halaman kita pun, anak -anak kita hanya jadi kuli sahaja di kedai orang..
Kita di Gerik, ada kawan yang mampu jual barangan runcit dan keperluan harian dengan harga yang jauh lebih rendah daripada kedai lain di bandar Gerik, tapi orang kita ni kadang - kadang ada penyakit tidak berminat nak beli di kedai orang kita..macam-macam hal..kalau tak percaya hubungi Nizam Ikan Bilis..mulakan langkah untuk kempen 'Belilah Di Kedai Orang Kita'

Friday, June 5, 2009

PAS:Selamat Bermuktamar..

Selamat bermuktamar, PAS. Parti Melayu kedua terbesar selepas UMNO. Bermuktamarlah dengan kesedaran bahawa selain UMNO, inilah parti kedua yang menjadi alternatif orang Melayu. Parti yang sepatutnya bersama UMNO dalam memperjuangkan kelangsungan Melayu di Tanah Melayu ini. Meskipun dengan kaedah dan pendekatan yang berbeza. Walaupun wujud jurang perbezaan, titik pertemuannya tetap mengenai kelangsungan Melayu. Ironinya lagi, Melayu dalam perlembagaan negara, adalah beragama Islam.
Muktamar janganlah dijadikan medan untuk menghentam UMNO dan 3 juta umat Melayu UMNO semata - mata. Menjadikan UMNO dengan 3 juta umat Melayu hanya satu - satunya musuh yang mesti diperangi dan dihancurkan. Menjadikan Melayu PAS dibutakan dengan jasa besar UMNO dalam menjaga kelangsungan Melayu dan Islam, bukan hanya 3 juta umat Melayu UMNO tetapi juga umat Melayu dalam PAS dan Melayu yang tiada parti. Jasa yang tidak boleh ditutup dan dinafikan.
Muktamar kali ini, jangan hanya melihat UMNO dengan wajah yang terlalu hodoh. Lihatlah dalam diri sendiri. Lihatlah dengan kewajaran atas prinsip Islam yang PAS perjuangkan kononnya. Lihatlah dengan kewajaran ilmu Islam yang dimiliki oleh PAS terutama dengan apa yang ada dan berlaku dalam pakatan pembangkang. Janganlah tenggelam dalam keghairahan untuk memusnahkan UMNO, PAS terperangkap pula dengan kelicikan DAP dan PKR. Janganlah PAS sebagai parti yang hampir seusia UMNO, yang didokong oleh sebahagian Melayu yang lain, dipimpin pula oleh DAP dan PKR. Amatlah malang jika PAS yang menjadikan penubuhan Negara Islam, hudud dan Qisas sebagai intipati perjuangan PAS dan menjadikan 'qiadatul ulama' sebagai konsep kepimpinan PAS, akhirnya dilihat dipimpin oleh DAP yang secara terang-terangan menolak intipati perjuangan PAS dan konsep 'qiadatul ulama'. Ataupun dipimpin pula oleh barisan caca marba PKR yang tidak jelas hala tujunya terhadap Islam yang PAS laungkan.
Konsep 'qiadatul ulama' jangan hanya di dalam PAS sahaja. Jika intipati perjuangan PAS adalah berkaitan dengan Negara Islam, konsep ' qiadatul ulama' ini juga kena dipasakkan dalam pakatan pembangkang. Untuk memasakkan konsep ini, maka PAS sepatutnya memimpin dan menjadi dominan dalam pakatan. Cuma persoalannya, mampukah PAS melepasi segala kemungkinan kelicikan politik DAP dan PKR..sedangkan bercakap tentang hudud pun, mengundang pelbagai reaksi keras daripada DAP. Jika PAS gagal meletakkan konsep 'qiadatul ulama' ini dalam pakatan, menjadi pemimpin dan dominan dalam pakatan, berhentilah daripada membohongi umat Melayu tentang perjuangan Negara Islam acuan PAS dalam negara majmuk ini.
Kita di Gerik, mengharapkan Muktamar PAS kali ini, lebih banyak melihat wajah sendiri daripada melihat wajah UMNO, kerana dalam berpolitik, kehodohan tetap ada kepada mana - mana parti pun, namun sekurang - kurangnya Melayu Islam di Tanah Melayu ini, termasuk Melayu PAS, menjalani kehidupan yang makmur, aman dan sejahtera, selepas merdeka 1957.

Thursday, June 4, 2009

Melayu dikhianati kerana Melayu yang memberi ruang..

Betul.Tepat. Tajuk Tulisan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia 31 Mei 2009 amat tepat. Tepat juga kerana Melayu tidak sampai merusuh dan tunjuk perasaan untuk menyatakan bagaimana mereka terasa dikhianati oleh mereka yang datang dan kemudiannya menikmati, kekayaan, kemakmuran dan keamanan lebih daripada dinikmati oleh orang Melayu sendiri. Mereka diterima sebagai warganegara di Tanah Melayu tanpa perlu menukar nama, budaya dan kepercayaan nenek moyang turun temurun mereka di tanah ibunda mereka. Mereka boleh berinteraksi dalam semua aspek kehidupan dengan Melayu tanpa sedikitpun rasa curiga akan dikhianati oleh Melayu. Lebih daripada itu, mereka tidak berhadapan keganasan dijalanan dan tindakbalas ekstrim seperti Hindraf, dalam memperjuangkan hak Melayu sendiri yang kian banyak dikongsi bersama mereka.
Samy Vellu, dalam kehilangan pengaruh dan sokongan masyarakat India, janganlah hendak menjadi hero masyarakatnya dengan menghantar ingatan supaya Melayu tidak boleh bercakap tentang hak Melayu. Amatlah pelik jika apa sahaja yang diperkatakan oleh orang Melayu tentang hak Melayu dianggap perkauman. Bercakap tentang Sultan dan Raja Melayupun dikatakan perkauman. Bercakap tentang Bahasa Melayu pun dikatakan perkauman. Bercakap tentang hak istimewa pun dikatakan perkauman. Agaknya, bagi orang seperti Samy Vellu, orang Melayu tidak boleh langsung menyebut dan menulis perkataan Melayu, kerana bersifat perkauman dan menyinggung perasaan orang lain. Hinggakan suatu ketika dahulu ada cadangan daripada komponen India dan Cina supaya UMNO juga dibubarkan kerana sifat Melayunya. tetapi pada masa yang sama apalah yang dapat mereka megahkan tentang keahlian parti mereka.
Sudahlah Samy Vellu, hormatilah perasaan Melayu yang telah berkongsi seluruh kekayaan, kemakmuran dan keamanan dengan kaum lain tanpa sedikitpun curiga dan irihati. Melayu tidak punya sebarang hasrat untuk mengambil walau sehuma pun kekayaan, kemakmuran dan keamanan yang dimiliki dan dinikmati kaum lain, cuma berharap kaum lain pandai untuk berterima kasih.
Dan kepada sebahagian Melayu yang cuma pentingkan pencapaian agenda politik semata - mata, memberikan ruang seluas - luasnya kepada mereka untuk memijak kepala kita, menjadi tamak setelah 'kita berikan betis mereka hendakkan paha', beringatlah, kita yang hidup hari ini akan ada keturunan dan generasi Melayu yang akan datang, jangan sampai anak - cucu kita nanti menjadi pengemis di negara sendiri. Dalam senyum manis mereka, peluk tawa mereka, akhirnya nanti merekalah gantang dan kitalah juga yang bakal melukut.
Kita di Gerik, ternampak seakan Samy Vellu dan sebahagian kaumnya hendak dimanjakan..

Wednesday, June 3, 2009

Yang lama runtuh, yang baru pun runtuh..

Jaya Supermarket PJ, rasanya masa teman di MPLP, ini antara tempat membeli dan menjamu mata. Setelah sekian lama tidak tahu hidup matinya Jaya Supermarket ini, tiba - tiba dapat berita utama. JS runtuh. 5 terkorban. Runtuh pun semasa proses nak diruntuhkan. Dalam menuju ke negara maju 2020 yang tinggal lebih kurang 10 tahun lagi, kaedah runtuhkan bangunan lama ini pun masih tidak dikuasai oleh pakar negara kita. Kalau kita tonton dokumentari dalam Astro, kita lihat bagaimana hebatnya bangunan lama yang berkali ganda besarnya daripada JS. Insiden sebegini bukan perkara kecil. Amat memalukan negara.

Hari ini pula, Stadium Sultan Mizan di Gong Badak Terengganu pula runtuh. Syukurlah kejadian tidak berlaku ketika ada sebarang aktiviti yang boleh memuatkan 50,000 orang. SSM ini masih baru. Baru setahun digunakan. Kononnya menggunakan teknologi baru dengan bumbung tanpa tiang. Belanjapun hampir RM280juta. Siasatlah dengan telus. Hukum siapa sahaja yang cuai dan menyeleweng kerana ini adalah kehilangan jutaan ringgit wang rakyat. Pemulihannya juga akan menelan belanja besar wang rakyat. Sekali lagi negara mendapat malu..

Kita di Gerik hairan, sesudah terantuk, barulah ada pakar yang memberikan ulasan itu dan ini, penguasa sibuk nak mencipta akta itu dan ini, siasat itu dan ini. Nanti bila kes semakin reda, semuanya pun kembali macam biasa, sehinggalah ada runtuhan baru. ProAktiflah kita. Janganlah jadikan budaya macam kita berikan bantuan kepada yang memerlukan, dah keluar tv dan akhbar barulah kita terhegeh-hegeh nak berikan borang bantuan. Ke mana perginya agensi dan pakar- pakar kita..kajilah semua tempat yang menjadi tumpuan awam, agar benar - benar selamat, kerana kalau berlaku lagi, tragedinya mungkin lebih teruk daripada Highland Tower..

Tuesday, June 2, 2009

Husam Musa..memusuhi UMNO tapi menyayangi DAP..

Husam Musa umum bertanding Timbalan Presiden PAS. Husam Musa buat sidang akhbar di Ibu Pejabat PAS untuk umum bertanding. Sama macam Anwar Ibrahim buat sidang akhbar umum bertanding Timbalan Presiden UMNO lawan Almarhum Tun Ghaffar. Husam Musa dan Anwar Ibrahim sememangnya sama. Marahkan UMNO tapi sayang benar kepada DAP.
Kitapun tak faham bagaimana orang macam Husam Musa ada dalam PAS. Berjawatan pula tu. Husam Musa membawa pendirian yang tidak mencirikan PAS sebagai parti yang kononnya membawa imej kesucian Islam. Kepada Husam Musa, DAP nampaknya lebih Islamik, lebih berjasa kepada kesuburan Islam di Malaysia, lebih boleh dimakan sembelihannya, lebih afdal bacaan ayat suci al-Quran nya, berbanding UMNO, walaupun DAP terlalu amat jelas menolak sebarang impian PAS menubuhkan negara Islam Malaysia.
Selain dengan kenyataan umum kononnya UMNO itu tidak Islamik, apakah membina masjid dan surau yang kemudiannya dijadikan medan untuk PAS memaki hamun UMNO merupakan satu dosa besar UMNO? Apakah kewujudan SMK Agama dan bantuan kepada SAR juga satu dosa besar UMNO?Apakah kesempurnaan pendidikan yang disediakan sehingga terlahirnya sebegitu banyak profesional Islam dan para ulama juga satu dosa besar UMNO? Apakah kesungguhan UMNO menyediakan kemudahan prasarana sehingga merata ceruk kampung juga satu dosa besar UMNO ? Apakah keamanan, kesejahteraan, kemakmuran yang kita nikmati hari ini juga satu dosa besar UMNO ? Apakah ura - ura untuk muzakarah PAS-UMNO juga satu dosa besar kepada pemimpin PAS yang cadangkan muzakarah ini?
Entahlah, gamaknya ugutan DAP supaya langkah mayatnya dulu kalau nak tubuhkan negara Islam, halal pula disisi Husam Musa. Gamaknya idea wakil DAP asyik tentang cerita nak besarkan ladang babi, juga halal disisi Husam Musa. Gamaknya jugalah, wakil DAP protes kerana azan dilaungkan di Selangor, juga halal juga di sisi Husam Musa. Gamaknya Ustaz Karpal Singh, Ustaz Lim Guan Eng, Ustaz Lim Kit Siang, Ustaz Ngeh dan Usta Nga tu, bagi Husam Musa jauh lebih Islam dan beriman daripada Ustaz-Ustaz dan Ulama yang menyokong UMNO. Lagipun, mengundi PAS kan dah terjamin masuk syurga..
Teman tak kata PAS. Teman kata Husam Musa. Hanya Husam Musa. Sebab teman nampak Husam Musa dengan Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng ini nampaknya beria - ia sungguh nak tumbangkan UMNO-BN. Cuma teman tak berapa pasti, siapa mengetuai siapa. Yang teman nampak, PAS seolah tak boleh nak sebut pasal hudud pun, nanti berdehemlah Lim Guan Eng dengan DSAI ni..macam Husam Musa debat dengan KJ..dah terlajak cakap tentang hudud,walaupun itulah yang menjadikan PAS disokong, akhirnya terpaksa diperbetulkan, hanya kerana takutnya PAS kehilangan DAP dan PKR..
Kita di Gerik percaya, majoriti ahli PAS tidak bersetuju dengan Husam Musa dan sebahagiannya juga bersetuju, UMNO telah terlalu banyak jasanya dalam mendaulatkan Islam di Malaysia..iyalah, bercakap dan mengkritik memanglah hebat..tambahle pula kalau dapat mimbar Jumaat..hebatnya pula yang jadi khatib tu pula Cikgu ke Ustaz ke..anak murid dalam kelas pun kita tak terjaga dan berikan P&P yang sempurna..bercakap memang sedappp..