::

:::

Tuesday, June 9, 2009

Bahasa Inggeris : Wajib di SPM..

Teman masuk Darjah 1 di SRJK Inggeris Gerik pada tahun 1970. Semasa itu Almarhum Nenda yang pernah menjadi Wakil Rakyat di Gerik, menggesa anak - anak lelaki di kampung teman dihantar ke SRJK Inggeris Gerik. Sekitar 60-an dan 70-an, kesedaran daripada orang - orang kampung teman, yang 100% Melayu, yang hanya mengaji di pondok dan sekolah Melayu, menyahut gesaan menghantar anak - anak lelaki ke SRJK Inggeris, sedikitpun tidak mencacatkan jati diri mereka sebagai Melayu dan Islam.
Pada masa itu, teman kagum sungguh melihat beberapa anak - anak kampung yang berbendang dan menoreh getah, menguasai Bahasa Inggeris dengan begitu baik sekali. Bahkan beberapa anak - anak muda kampung mendapat pekerjaan yang baik dalam perkhidmatan kerajaan.
Tetapi teman dan rakan - rakan kampung yang lain, yang masuk Darjah 1, menjadi kumpulan pertama yang memulakan aliran Bahasa Melayu di SRJK Inggeris. Kerajaan pada masa itu membuat keputusan menukarkan bahasa pengantar di SRJK Inggeris daripada BI ke BM. Mujurlah pada masa itu, urusan kami dengan guru - guru di kelas atau di Bilik Guru masih lagi dalam Bahasa Inggeris. Dalam kelas, kecuali BI, mata pelajaran lain yang dulunya diajar dalam BI (kecuali BM dan Pendidikan Islam), diajar dalam BM.
Akhirnya, sebahagian besar antara kami kehilangan taring kami dalam berbahasa Inggeris. Daripada keputusan C dalam Penilaian Darjah 5, dapat 7 dalam SRP akhirnya dapat 9 dalam SPM. Begitulah bagaimana rentetan kehilangan penguasaan BI kami, anak - anak kampung yang berbendang dan menoreh getah, akibat kegagalan kita memberikan tempat yang sewajarnya terhadap penguasaan BI.
Hari ini, PPSMI mengembalikan anak - anak teman dalam berbahasa Inggeris. Bahkan kekadang teman seronok melihat anak - anak teman berbahasa Inggeris semasa mereka bermain di laman rumah. Lebih hebat lagi kekadang teman dan isteri terpaksa tanyakan anak - anak makna beberapa istilah BI. Sebab itulah teman risau kembali, apabila penentangan terhadap PPSMI ini akhirnya akan mengulang sejarah persekolahan teman, yang kehilangan penguasaan dan taring teman dalam BI.
Untuk itulah, teman menyokong penuh terhadap cadangan YAB Menteri Pelajaran mensyaratkan wajib lulus BI untuk mendapat sijil SPM. Hakikat keperluan penguasaan BI di kalangan anak - anak kita sudah menjadi keperluan yang hakiki dalam menjalani kehidupan mendatang. Selepas syarat wajib hanya lulus, kita pertingkatkan pula syarat mendapat kepujian dalam BI pula untuk dapatkan Sijil SPM.Percayalah, ketika kaum lain menguasai bahasa ibunda mereka, BM dan BI, kita masih tetap-tetap juga meletakkan generasi anak kita ini ke dalam tempurung. Kita berarak dan berdemontrasi di atas jalanan,( sebahagiannya belajar dalam Bahasa Arab semasa di sekolah dan Universiti- tak ada jadi macam Pak Arab pun ) ketika kaum lain melihat betapa bodohnya kita bersungguh - sungguh meletakkan anak - anak kita ke dalam tempurung.
Kita di Gerik, mengucapkan tahniah kepada Penerima Anugerah Pejuang Bahasa, yang tentunya boleh berbahasa Inggeris dengan fasih sekali, yang diberikan PAS. Masih terlalu banyak lagi aspek perjuangan bahasa Melayu yang perlu diperjuangkan. Kita kadang - kadang rasa sedih benar, bila beli mesin pengisar pun, manual penggunaannya tidak adapun ditulis dalam Bahasa Melayu. Usahle kalau perjanjian pinjaman ke, insuran ke, guaman ke..aduhhhh..

No comments:

Post a Comment