::

:::

Saturday, June 13, 2009

1Malaysia: Memahamkan rakyat..

Tadi terjumpa buku Sejarah Pilihanraya di Malaysia. Sempatlah baca. Bab pertamanya tentang sejarah pemerintahan di Malaysia. Teringat pula tentang berita yang teman dah lupa tarikh siarannya mengenai satu perhimpunan besar - besaran membabitkan pelbagai peringkat masyarakat termasuk pembangkang untuk melancar dan memperjelaskan konsep 1Malaysia. Rakyat didahulukan, Prestasi diutamakan.
Teman beranggapan dalam memperjelaskan konsep mengenai 1Malaysia ini, ada perkara yang lebih utama untuk diberikan pemahaman dan penghayatan oleh seluruh rakyat Malaysia. Pemahaman dan penghayatan mengenai sejarah kegemilangan, yang ditandai dengan kegemilangan Empayar Melaka, kejatuhan ke tangan penjajah, perjuangan pra dan pasca kemerdekaan, perlembagaan negara, keadilan Islam, rukun negara, institusi raja - raja, kontrak sosial, keganasan komunis dan darurat, 13 Mei 1969, era kepimpinan 5 Perdana Menteri terdahulu, kekayaan, keamanan dan kemakmuran yang dinikmati kerana perpaduan rakyat, kestabilan politik, keseimbangan pengagihan kek ekonomi, sensitiviti kaum dan agama yang dijagai, kebebasan dalam ruang lingkup masyarakat majmuk Malaysia, dan kesedaran mengenai hak asasi manusia dalam acuan Malaysia sendiri.
Segalanya mengenai kenegaraan itu yang perlu difahamkan terlebih dahulu. Pemahaman ini dititipkan sepanjang masa ke dalam minda rakyat sama ada melalui media elektronik, media cetak ataupun media maya. Sebelum pelancaran secara besara- besaran ini, rakyat, terutama generasi selepas 13 Mei 1969, perlu dipasakkan dengan ingatan mengenai sejarah perjalanan tanah air mereka sendiri. Perjalanan yang bukan mudah, sehingga terlahirnya negara Malaysia seperti hari ini. Negara yang didiami oleh pelbagai kaum, agama dan budaya, yang berjaya diwujudkan, tanpa perlu mana - mana kaum, merampas harta dan jiwa satu kaum yang lain. Negara Malaysia yang jauh amat berjaya, berbanding dengan negara - negara lain yang menghadapi masalah perkauman, agama, dan etnik. Malaysialah contoh, di mana 3 kaum terbesar dan kaum minoriti yang lain dapat hidup tanpa sangsi, takut serta berjaya dalam pelbagai bidang kehidupan.
Itulah yang perlu difahamkan terlebih dahulu. Dalam keadaan negara dimana usaha meningkatkan semangat perkauman yang tebal akibat kepentingan politik, maka 1Malaysia akan boleh direalisasikan, jika semua rakyat mengetahui mengenai sejarah asal usul pembentukan Malaysia yang merdeka, aman, damai, makmur dan sejahtera. Semua rakyat perlu memahami dan menghayati sejarah kewujudan negara ini, yang bukannya datang sendiri tanpa kebijaksanaan pemimpin terdahulu serta kesungguhan rakyat yang pelbagai kaum berusaha mencapai kewujudan negara yang terbaik untuk mereka diami. Itulah acuan yang dibentuk oleh kepimpinan terdahulu daripada pelbagai kaum, dan acuan inilah yang perlu difahami, dipupuk, dihayati dan dipertahankan.
Pemahaman inilah, yang akan memastikan 1Malaysia juga akan difahami, dipupuk, dihayati dan dipertahankan dalam acuan yang telah ditentukan 52 tahun sebelum kemerdekaan negara.
Kita di Gerik percaya, tanpa menyusur sejarah terlahirnya Malaysia seperti hari ini, 1Malaysia akan juga terlahir berdasarkan tafsiran yang berbeza - beza mengikut acuan kaum masing - masing, dan tentunya akan jauh berbeza daripada apa yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment