::

:::

Friday, June 5, 2009

PAS:Selamat Bermuktamar..

Selamat bermuktamar, PAS. Parti Melayu kedua terbesar selepas UMNO. Bermuktamarlah dengan kesedaran bahawa selain UMNO, inilah parti kedua yang menjadi alternatif orang Melayu. Parti yang sepatutnya bersama UMNO dalam memperjuangkan kelangsungan Melayu di Tanah Melayu ini. Meskipun dengan kaedah dan pendekatan yang berbeza. Walaupun wujud jurang perbezaan, titik pertemuannya tetap mengenai kelangsungan Melayu. Ironinya lagi, Melayu dalam perlembagaan negara, adalah beragama Islam.
Muktamar janganlah dijadikan medan untuk menghentam UMNO dan 3 juta umat Melayu UMNO semata - mata. Menjadikan UMNO dengan 3 juta umat Melayu hanya satu - satunya musuh yang mesti diperangi dan dihancurkan. Menjadikan Melayu PAS dibutakan dengan jasa besar UMNO dalam menjaga kelangsungan Melayu dan Islam, bukan hanya 3 juta umat Melayu UMNO tetapi juga umat Melayu dalam PAS dan Melayu yang tiada parti. Jasa yang tidak boleh ditutup dan dinafikan.
Muktamar kali ini, jangan hanya melihat UMNO dengan wajah yang terlalu hodoh. Lihatlah dalam diri sendiri. Lihatlah dengan kewajaran atas prinsip Islam yang PAS perjuangkan kononnya. Lihatlah dengan kewajaran ilmu Islam yang dimiliki oleh PAS terutama dengan apa yang ada dan berlaku dalam pakatan pembangkang. Janganlah tenggelam dalam keghairahan untuk memusnahkan UMNO, PAS terperangkap pula dengan kelicikan DAP dan PKR. Janganlah PAS sebagai parti yang hampir seusia UMNO, yang didokong oleh sebahagian Melayu yang lain, dipimpin pula oleh DAP dan PKR. Amatlah malang jika PAS yang menjadikan penubuhan Negara Islam, hudud dan Qisas sebagai intipati perjuangan PAS dan menjadikan 'qiadatul ulama' sebagai konsep kepimpinan PAS, akhirnya dilihat dipimpin oleh DAP yang secara terang-terangan menolak intipati perjuangan PAS dan konsep 'qiadatul ulama'. Ataupun dipimpin pula oleh barisan caca marba PKR yang tidak jelas hala tujunya terhadap Islam yang PAS laungkan.
Konsep 'qiadatul ulama' jangan hanya di dalam PAS sahaja. Jika intipati perjuangan PAS adalah berkaitan dengan Negara Islam, konsep ' qiadatul ulama' ini juga kena dipasakkan dalam pakatan pembangkang. Untuk memasakkan konsep ini, maka PAS sepatutnya memimpin dan menjadi dominan dalam pakatan. Cuma persoalannya, mampukah PAS melepasi segala kemungkinan kelicikan politik DAP dan PKR..sedangkan bercakap tentang hudud pun, mengundang pelbagai reaksi keras daripada DAP. Jika PAS gagal meletakkan konsep 'qiadatul ulama' ini dalam pakatan, menjadi pemimpin dan dominan dalam pakatan, berhentilah daripada membohongi umat Melayu tentang perjuangan Negara Islam acuan PAS dalam negara majmuk ini.
Kita di Gerik, mengharapkan Muktamar PAS kali ini, lebih banyak melihat wajah sendiri daripada melihat wajah UMNO, kerana dalam berpolitik, kehodohan tetap ada kepada mana - mana parti pun, namun sekurang - kurangnya Melayu Islam di Tanah Melayu ini, termasuk Melayu PAS, menjalani kehidupan yang makmur, aman dan sejahtera, selepas merdeka 1957.

No comments:

Post a Comment