::

:::

Thursday, December 4, 2008

SPR UMNO.Kembali Kepada Kuasa Akar Umbi

Selepas PRU 12, begitu banyak suara yang menggesa agar pandangan ahli UMNO yang merupakan akar umbi kepada kekukuhan UMNO selama ini diambil kira. Ketidakpuasan hati akar umbi perlu diselami,didengari dan diberikan perhatian sewajarnya.
Kadang - kadang kita tersalah tafsir tentang kehendak akar umbi parti. Alaf ini, kemudahan prasarana diceruk kampung bukan lagi menjadi satu - satunya perkara yang merungsingkan akar umbi parti. Sebagai sebuah negara yang menuju pencapaian sebagai sebuah negara maju menjelang 2020, serata ceruk kampung telah dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, jalanraya, kemudahan pendidikan yang boleh dianggap sempurna, kalau tidakpun, jauh lebih baik jika dibandingkan dengan negara jiran.
Namun akar umbi parti kadang - kadang terasa dipermainkan. Pemilihan kepimpinan dalam UMNO menjadi contoh terbaik. Cadangan YB Tan Sri Muhiyuddin Yassin agar kuasa pemilihan kepimpinan UMNO tidak lagi ditentukan oleh lebih kurang 2500 ahli UMNO yang menjadi perwakilan ke UMNO Malaysia amat bertepatan sekali. Tidak perlulah kita berdolak dalik kerana kaedah pemilihan sedia ada tidak pernah menggambarkan kehendak akar umbi parti.
Apakah keajaiban sebenarnya apabila calon yang mendapat pencalonan hampir 70% daripada seluruh bahagian tiba - tiba tidak terpilih? Apakah akar umbi parti di hampir 70% bahagian ini akan berpuashati dengan keputusan pemilihan sebegini ? Apakah 2500 perwakilan ini mempunyai hak untuk menidakkan kehendak akar umbi di 70% bahagian ? Apakah 2500 perwakilan ini, daripada 3.4 juta ahli UMNO ,merupakan nisbah yang memadai untuk menentukan pucuk kepimpinan parti? Apakah benar 2500 perwakilan ini akan membawa mandat dan amanah bahagian masing - masing dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam perhimpunan Agung nanti atau membawa percaturan diri masing - masing dalam memilih pucuk pimpinan parti? Kerana mandat dan amanah bahagian adalah juga mandat dan amanah daripada cawangan dan di cawangan lah di mana akar umbi parti menunjukkan kesetiaan dan tanggungjawab kepada parti tanpa berbelah bagi dan mereka tidaklah sebegitu jahil sehingga tidak boleh menilai mengapa calon yang sepatutnya menang selesa berdasarkan jumlah pencalonan akhirnya tumbang.
Yakinkah kita bahawa Tan Sri Muhiyuddin Yassin yang mendapat pencalonan tertinggi, bahkan meninggalkan agak jauh pesaingnya akan terpilih sebagai Timbalan Presiden ? Adakah kemungkinan YB Dato Mukhriz yang juga mendapat pencalonan yang begitu selesa akan terpilih sebagai Ketua Pemuda ? Ini adalah kehendak akar umbi yang mencalonkan mereka di bahagian masing - masing. Apakah kesemua perwakilan yang membawa mandat dan amanah bahagian yang mencalonkan mereka akan tetap teguh dengan mandat dan amanah yang dipikul? Apakah terpakai apabila ada bahagian yang mengadakan undi sulit untuk menentukan calon kepimpinan parti, keputusannya tidak diterjemahkan ke dalam pemilihan sebenar? Jika Ya, akar umbi akan menyanjung tinggi mereka sebagai pemimpin yang beramanah, tetapi jika tidak akar umbi ini akan terus - terusan tidak berpuas hati dan terasa dipermainkan dan hak mereka juga untuk menentukan pucuk pimpinan parti tidak dipedulikan dan tidak didengari .
Kembalikan kuasa kepada akar umbi parti. Pinda perlembagaan. Tubuhkan SPR UMNO. Gunakan proses sepertimana Pilihanraya Umum dilaksanakan sebagai proses dalam pemilihan pucuk pimpinan teratas UMNO Pusat termasuk sayap. Berikan kembali hak memilih ini kepada yang berhak. Akar umbi kini telah terdedah dengan begitu banyak pengetahuan mengenai parti dan kepimpinan parti. Mereka juga berhak menentukan mana intan dan mana kaca. Jika tidak sampai bila - bila pun akar umbi UMNO tidak akan berpuas hati.
Dan tentunya, siapa gamaknya yang sanggup berbelanja untuk membeli undi daripada hampir 10,000 wakil bahagian yang layak mengundi. Dan kalau hak memilih ini diperturunkan terus kepada 3.4juta ahli melalui Pilihanraya UMNO, gamaknya siapakah yang benar - benar sanggup menggunakan wang ringgit sebagai ganti undi. Lalu..sebagai sebuah organisasi yang telah terbukti kecemerlangan mentadbir negara, untuk berubah kepada proses pemilihan seperti yang dicadangkan oleh YB Tan Sri M ini, takkanlah tidak mampu..
Kalau tidak mampu, berhentilah bercakap mengenai 'kehendak akar umbi..."

No comments:

Post a Comment