::

:::

Wednesday, April 29, 2009

Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu..

Malam lepas tonton filem Hang Tuah lakonan P.Ramlee. Walaupun dah berulang kali ditonton, kita masih tetap terpaku di depan TV. Tentulah filemnya tidaklah sehebat filem dengan teknologi CGI masa kini.
Tetapi kita dibesarkan dengan cerita Hang Tuah. Kita didedahkan di sekolah dengan cerita Hang Tuah. Kita membaca Hikayat Hang Tuah. Lepas tu kita didedahkan dengan Sejarah Melayu. Kita membaca Sejarah Melayu. Dan apa yang dikisahkan dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu tu, sentiasa mengekori kehidupan kita hari ini.
Hari ini, tanyalah kepada anak - anak muda kita, termasuk yang di menara gading. Malanglah mereka tidak kenal Hang Tuah. Tidak kenal Hang Jebat. Apa lagi nak kenal Demang Lebar Daun. Nak kenal Sang Sapurba. Anak - anak kita, yang kita sering jeritkan dengan jati diri lebih kenal Superman, Spiderman, Batman dan Ultraman.
Pedulikan pasal mitos dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Itulah gambaran kekuatan dan kehebatan hero dalam kehidupan Melayu. Gambaran ' super' jati diri bangsa Melayu dalam Sejarah Melayu. Bukankah pelbagai jenis super yang dilahirkan dalam filem barat itu juga bertolak -titik daripada unsur mitos.
Apakah tidak ada usaha untuk kita membukukan Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu dalam bentuk yang boleh dimengerti oleh anak - anak seawal pra sekolah, diminati oleh anak - anak menengah. Jadikan juga sebagai teks yang wajib dibaca, diceritakan dan dipertandingkan. Rasanya jauh lah lebih baik daripada membaca tentang cerita nenek kebayan yang entah mana asal - uslnya.
Kita di Gerik, sedari kecil megah sungguh bila jadi Hang Tuah, teringin benar menyaksikan padi emas di Bukit Saguntang..

No comments:

Post a Comment