::

:::

Friday, May 1, 2009

1 Mei..genap 46 tahun usia..

Hari ini Jumaat 1 Mei 2009. Cuti sempena sambutan Hari Pekerja. Hari ini 1 Mei bagi teman bukan sekadar Hari Pekerja. 1 Mei, 46 tahun dahulu teman dilahirkan. Menyusuri sejarah,mungkin nampak teman seolah dilahirkan dalam keluarga yang lebih bernasib baik pada zaman itu. Almarhum Ayahanda seorang guru sekolah rendah yang hampir keseluruhan tempoh perkhidmatannya berkhidmat di SJK Cina. Sekolah terakhirnya selama 23 tahun di SJK Cina Cung Wa Gerik. Bonda, alhamdulilllah masih sihat untuk melihat anak - anaknya mempunyai kehidupan yang baik, suri rumah sepenuh masa, anak kepada Wakil Rakyat Pertama Gerik.
Sejarah keluarga ini menggambarkan kehidupan yang cukup terbaik jika itulah kedudukan ayahanda dan bonda masa kini. Tapi itu dulu. Dengan 9 anak yang diamanahkan, almarhum ayahanda bukan sekadar seorang guru. Almarhum Ayahanda juga penoreh getah. Almarhum ayahanda juga pesawah padi. Dan tentulah kesungguhan alamarhum ayahanda memastikan anak - anak bersekolah dan dapur rumah berasap, dibantu dengan kekuatan bonda. Bonda turut ke bendang, menoreh getah dan pada sebelah pagi buatkan pulut udang, karipap dan tepung bungkus untuk dijual.
Hari ini ketika genap usia teman 46 tahun, teman kadang - kadang duduk di luar rumah. Menyusuri kehidupan yang teman lalui telah lebih 4 dekad. Meneruskan kerjaya almarhum ayahanda. Alhamdulillah. Kehidupan ditemani isteri yang amat menyayangi teman dan dikurniakan 4 orang anak, 2 perempuan dan 2 lelaki, yang mungkinnya tidak pernah merasai kehidupan serba kurang teman dahulu. Bersyukurlah teman kerana Bonda masih sihat untuk melihat anak - anak dan cucu - cucunya mempunyai kehidupan terbaik masing - masing.
Insaflah teman. Kehidupan yang teman lalui bersama isteri dan anak - anak hari ini, yang begitu jauh daripada kekurangan 4 dekad yang lalu, tidak akan datang sendiri. Tidak juga hanya kerana usaha teman sendiri. Tapi teman percaya apa yang teman lalui adalah kerana juga teman lahir dan hidup dalam sebuah negara yang aman, makmur dan dirahmati Allah. Sebuah negara yang memberikan segala peluang dan ruang kepada mereka yang ingin berjaya. Sebuah negara yang dipimpin oleh pemimpin - pemimpin yang bijaksana. Pemimpin yang bijaksana yang tentunya tidak boleh ditipu oleh sejarah, lahir daripada UMNO, yang teman percaya telah meletakkan landasan kepada orang Melayu dan bukan Melayu untuk hidup seperti hari ini.
Bersyukur benar teman, dalam usia 46 tahun ini, teman tidak kehilangan kaum keluarga kerana perang, bom dan peluru. Tidak kehilangan keluarga kerana rusuhan antara kaum. Sedikitpun teman tidak sangsi untuk menjalani kehidupan di negara yang aman dan damai ini. Dan menjadi tanggungjawab teman untuk mendidik anak - anak teman, betapa pentingnya keamanan dan kedamaian ini terus dipertahankan.
Teman percaya, kesemua rakyat di negara ini telah menikmati kehidupan terbaik mereka berbanding negara - negara lain yang porak - poranda akibat perang, rusuhan dan mala petaka. Cuma bagi segelintir yang tidak bersyukur, mereka hanyalah manusia takbur yang bukan tidak puas dengan kesejahteraan hidup di bumi bertuah ini, bahkan mereka menikmati kesemuanya, cuma kerana mereka bebal dan mengkufuri nikmat Allah.
1 Mei, pada usia 46 tahun, al Fatihan buat Almarhum Ayahanda,terima kasih bonda, isteri, anak - anak, keluarga, dan semua yang berjasa kepada teman. Terima Kasih Malaysia..

No comments:

Post a Comment