::

:::

Saturday, May 16, 2009

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

16 Mei setiap tahun, Hari Guru disambut di seluruh negara. Pada 16 Mei 1956, Majlis Undang - Undang Persekutuan Tanah Melayu ( Federal Legislative Council ) telah menerima cadangan Laporan Jawatan Kuasa pelajaran ( Report of the Education Comittee ) yang dikenali juga Laporan Razak sebagai Dasar Pelajaran Kebangsaan dan 16 Mei kemudiannya diisytiharkan sebagai Hari Guru.
Bukan sedikit jasa Guru untuk diterjemahkan dengan hanya sambutan Hari Guru. Namun, warga guru dengan penuh bangga sepatutnya menjadikan Hari Guru sebagai hari sambutan yang diadakan secara bersungguh - sungguh. Bukan sekadar hanya sebagai sambutan untuk menunaikan arahan daripada mana - mana pihak. Jika pun sering diperkatakan tentang peranan guru yang semakin mengecil dalam masyarakat, namun guru zaman kini sepatutnya menanamkan rasa bangga yang teramat sangat kerana perjuangan guru telah terpahat dalam tinta emas sejarah negara. Bukan hanya sebagai guru sekolah. Lebih daripada itu, guru berjuang menentang penjajahan, berjuang memerdekakan negara dan membawa rakyat keluar menjadi manusia sebagaimana yang dinikmati oleh seluruh warganegara.
Semoga suatu ketika nanti, seluruh masyarakat akan berpusu - pusu ke sekolah, tanpa perlu dijemput atau dirancang, tanpa perlu hadiah dan cenderamata, tanpa bunga manggar dan aturcara, pada 16 Mei, sekadar untuk mengucapkan Terima Kasih Cikgu.
Kepada semua guru yang berjasa, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, siapapun kaumnya dan apa pun anutan agamanya, SELAMAT HARI GURU.

No comments:

Post a Comment