::

:::

Wednesday, May 12, 2010

SELAMAT HARI GURU

16 MEI. Selamat Hari Guru kepada semua warga guru. Tentulah teman takkan lupakan jasa guru - guru teman. Terutamanya semasa teman di SRJK Inggeris Gerik. Selepas tu meneruskan alam Menengah di SMKSultan Idris Shah II Gerik dan SMK Bukit Merchu Kuala Kangsar. Jasa guru terpahat kukuh di hati teman. Semasa di SRJK Inggeris Gerik, teman le kumpulan pertama di mana Bahasa Pengantar Bahasa Inggeris di sekolah rendah ditamatkan. Walaupun dalam Sijil berhenti tertera nama sekolah Inggeris, tetapi teman dan rakan - rakan teman sekelas hampir sebahagiannya gagal kuasai Bahasa Inggeris dengan baik. Cukuple sekadar mengajar anak - anak di rumah. Alhamdulillah, setakat hari ni anak - anak teman Bahasa Inggeris mereka takle koman sangat. Kalau tak A pun, dapat le B. Selalunya A le..

Hari ni, kata di orang, GURU ni banyak cuti, besar gajinya, senang kerjanya dan banyak sangat rungutannya. Kata di orang lagi GURU hari ni tak dihormati. Tidak lagi mendapat tempat sewajarnya dalam masyarakat. Tidak lagi menjadi pakar rujuk dalam perkara-perkara kemasyarakatan. Tidak lagi menjadi pemimpin dalam komuniti kampung dan kejiranan.

Tetapi rasa teman, tentulah tidak adil membandingkan guru sekarang dengan guru lama. Apa yang sering dibangkitkan oleh sesetengah orang ialah GURU lama ni lebih hebat komitmen dan keihklasannya. Lebih diterima oleh masyarakat setempat. Lebih dihormati. Tetapi apa yang mungkin sering dilupakan betapa zaman telah terlalu banyak berubah. Kita tidak akan sekali - kali melupakan jasa dan pengorbanan guru terdahulu. Tetapi menidakkan peranan guru hari ini dalam membina kewujudan sebuah negara bangsa adalah pandangan yang masih terbuka untuk dipolemikkan.

Hari ini guru berhadapan dengan zaman yang cabarannya tidak serupa semasa kita baru merdeka. Hari ini guru bukan satu - satunya penjawat awam yang berada dalam komuniti dan kejiranan setempat. Dalam kemakmuran negara, hari ini guru - guru dilingkungi oleh ahli - ahli perniagaan tempatan ( walaupun ada antaranya hanya setakat tamat Tahun 3 ), profesional dalam pelbagai bidang dan anak - anak yang berjaya sama ada di peringkat akademik tertinggi dan menjawat jawatan yang hebat - hebat.

Seperti juga guru dahulu yang tidak pernah mengejar penghormatan masyarakat atau menawarkan diri menjadi pemimpin, guru hari ini pun masih kekal dengan sikap sebegitu. Cuma beruntungnya guru dahulu, masyarakat melihat guru satu - satunya yang ditunjukkan sebagai pemimpin setempat, berbanding hari ini kekuatan material dan penonjolan menjadikan mereka labih mendapat tempat. Bahkan dalam sesetengah kes, kekurangan moral dan akhlak juga diketepikan.

Teman yakin, keihklasan, kesungguhan dan iltizam guru hari ini tidak pernah pudar. Guru hanya mampu menawarkan keihklasan dan kesungguhan serta kepuasan apabila melihat anak - anak didik berjaya bukan setakat ke menara gading tetapi berjaya dalam kehidupan mereka. Cuma bezanya, masyarakat hari ini bukan hanya itu yang menjadi tuntutan mereka, tetapi keperluan material yang mungkin boleh diberikan oleh profesion lain, bukan oleh Guru.

Kepada semua Guru Malaysia, SELAMAT HARI GURU dan sahutlah cabaran GURU PEMBINA NEGARA BANGSA.

Teman di Gerik, cuma tak berapa setuju le kalau ada guru yang merungut di dada akhbar..alahai..

No comments:

Post a Comment