::

:::

Monday, March 8, 2010

Reformasi di Malaysia. Apa sebenarnya Dato Salehuddin..

Mengikuti temu bual Dato Salehuddin, bekas SUA PKR dalam MM, teman cuma tertarik dengan istilah reformasi yang kerap sangat disebutnya. Bukan setakat disebut, tetapi menganggap dirinya reformis. Penggerak reformasi di Malaysia. Reformasi yang disuburkan akibat daripada pemecatan DSAI daripada kabinet dan UMNO. Reformasi yang digambarkan dengan rusuhan dijalanan. Reformasi yang ketika itu hanya memperjuangkan nasib DSAI yang kehilangan tangga terakhir untuk menjadi PM. Lebih - lebih lagi apabila disebutkan reformasi ini disertai oleh masyarakat marhaen yang teruja dengan karisma palsu DSAI. Sehingga hari inipun, laungan reformasi akan muncul apabila munculnya DSAI dikhalayak. Walaupun pada ketika sedang berperang dengan pengadilan terhadap moral beliau.

Lahir dan menjadi warganegara Melayu dan Islam di Malaysia, apakah sebenarnya intipati reformasi yang kerap sangat disebutkan Dato Salehuddin. Kalau ikut Kamus Dewan, reformasi ini maknanya perubahan atau pembaikan yang mengarah kepada keadaan yang lebih baik. Merujuk kepada Malaysia, perubahan atau kebaikan ke arah mana sehinggga kita sanggup merusuh di jalanan, mencaci maki, berarak ke sana dan berarak ke sini. Perubahan dan kebaikan ke arah mana, sehingga kita membuka ruang kedaulatan penghormatan negara dibolosi oleh negara asing. Perubahan dan kebaikan ke mana sehingga bangsa sendiri berantakan sesama sendiri, Islam pula diperkotak katikkan, dan kaum lain yang selama ini hidup atas semangat kontrak sosial dan ikatan perlembagaan mula mempersoalkan keistimewaan yang dinikmati oleh bangsa majoriti.

Kita amat menyempitkan makna reformasi. Reformasi di Malaysia digambarkan sebagai tindakan keganasan, ketegangan, rusuhan, keluar daripada susila bangsa dan agama. Reformasi di Malaysia juga hanya berkisar kepada usaha menumbangkan kerajaan sedia ada, melunaskan hasrat hanya seorang tokoh untuk menduduki Putrajaya. Kebanyakan yang amat berbangga menggelar diri mereka  reformis tulen, hanyalah kerana mereka  suatu ketika  dahulu pernah turun ke jalan, merusuh, menyusahkan rakyat majoriti yang lain dan pernah disumbatkan ke ISA. Sehingga kini istilah reformasi melekat kukuh dengan gerakan yang penuh dengan ketegangan dan pertelingkahan.

Jika makna reformasi adalah perubahan atau pembaikan kepada sesuatu yang lebih baik, dalam konteks Malaysia yang aman dan makmur ini, maka perubahan dan pembaikan yang diperjuangkan itu sebenarnya tentang apa ? Daripada miskin kepada kaya ? Daripada perang kepada aman ? Daripada berantakan kaum kepada hidup rukun dan aman ? Daripada mundur kepada negara maju ? Daripada menerima pendatang asing haram dan halal kepada rakyat kita pula menjadi PATI di negara orang ? Daripada pendidikan hanya untuk golongan bangsawan kepada pendidikan untuk semua ? Daripada hanya 1 universiti sehingga satu negeri satu universiti ? Daripada surau berdinding buluh, beratap rumbia kepada masjid yang tersergam indah dan di merata tempat ? Daripada perjalanan utara - selatan yang memenatkan dengan lebuhraya yang amat selesa? Kalau ini yang mendasari reformasi yang Dato Salehuddin war - warkan, bukankah itulah yang dinikmati oleh Dato Salehuddin dan mereka yang selama ini bangga benar menggelar diri mereka  reformis.

Teman pun tak faham. Sehinggakan hari ini, kita pun sudah tidak berminat menggunakan perkataan reformasi. Bukannya apa..nanti dianggap pula sebagai perusuh jalanan, gengstar. Hari ini pun, apa sangat usaha reformis ini untuk menambahbaik kualiti hidup rakyat. Hanya laungkan Reformasi! Reformasi!

Betul benarlah apa yang Dato sebutkan. Sebenarnya bukan hanya sekarang DSAI dan pendokong reformasi ini telah tersesat daripada makna reformasi. Sedari awal lagi, reformis yang mendokong DSAI ini telah tersesat daripada makna sebenar reformasi. Tersesat tentang makna Reformasi dan ditambah pula kebodohan meletakkan seorang tokoh reformasi.

Di Malaysia ini, jadilah reformis kepada diri sendiri. PATI yang datang bergalang nyawa boleh hidup mewah hasil rezeki di negara kita, reformis kita masih lagi marhaen. Bagi yang kakitangan kerajaan, anjurkan reformasi agar diri sendiri lebih bertanggungjawab dan komited kepada kerja, bagi yang bekerja di firma swasta, tingkatkan diri supaya kita tidak menjadi kuli selama-lamanya. Yang bekerja sendiri, jangan hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hayatilah makna sebenar reformasi, barulah anda boleh menggelar diri anda reformis..

Kita di Gerik, kononnya ada yang anggap mereka reformis, bermati-matian dengan reformasi untuk menumbangkan kerjaan sedia ada, sanggup berbaring di atas jalanraya, sedangkan baju sekolah anak sendiripun tidak berganti.. 

No comments:

Post a Comment