::

:::

Friday, February 19, 2010

Surat Pembaca: Berita Harian 17.02.2010

Pesta tarian, fesyen Puteri tidak bantu Umno jadi 'Juara Rakyat'

SAYA tertarik dengan visi Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin untuk menjadikan Fiesta Tarian Melayu Kreatif dan Fesyen Kebaya Puteri Umno sebagai acara tahunan pada peringkat negeri dan nasional. Namun, saya berpendapat fiesta itu bukanlah suatu keutamaan kerana lebih banyak agenda kemasyarakatan yang perlu diberi perhatian dan sepatutnya diperjuangkan oleh Puteri Umno.
Tugas utama Puteri Umno pada masa ini adalah untuk menjiwai dan mempromosikan Umno sebagai 'Juara Rakyat'. Untuk merealisasikan juara rakyat, Puteri Umno yang ternyata berkemampuan mendekati segenap lapisan masyarakat seharus-nya mendampingi rakyat untuk menyelesaikan permasalahan rakyat, bukannya menganjurkan pesta tari-menari dan fesyen. Pesta tarian dan fesyen tidak akan mengenyangkan perut masyarakat miskin di kampung. Program singkat 'juara rakyat' mustahil dapat menyelesaikan semua permasalahan penduduk setempat. Sepatutnya Puteri Umno giat melakukan tindakan susulan untuk setiap program 'juara rakyat' dengan memastikan tiada lagi anak-anak kecil di kampung kelaparan, kekurangan zat makanan, anak kampung yang masih keciciran dalam pelajaran malah ramai yang masih tidak dapat membaca, nasib ibu tunggal dan seribu satu macam permasalahan masyarakat desa.

Sebenarnya peranan Puteri Umno amat besar. Itulah sebabnya kepemimpinan Puteri Umno diberi pengiktirafan untuk bertanding sebagai calon pilihan raya. Tidak mungkin tindakan Puteri Umno menganjurkan Fiesta Tarian Melayu Kreatif dan Fesyen Kebaya Puteri Umno adalah untuk menyaingi sayap wanita pembangkang seperti Muslimat Pas. Namun, tindakan ini seolah-olah mengiyakan tohmahan terhadap Puteri Umno sebagai 'gedik'. Isu ini pasti akan dijadikan bahan kempen parti pembangkang.
Saya berpendapat setiap pihak dalam Umno perlu mengurangkan kontroversi dan isu negatif menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Kepada Ketua Puteri Umno, Fiesta Tarian Melayu Kreatif dan Fesyen Kebaya Puteri Umno jelas tidak selaras dengan tuntutan Islam. Justeru, bagaimana kita hendak menangkis dakwaan Pas bahawa Umno tidak memperjuangkan Islam. Jika merasakan fiesta itu satu keperluan sebagai aktiviti riadah ahli-ahli puteri, saya menasihatkan ia diadakan secara tertutup.

Kurangkan kontroversi ketika Umno cuba menarik kembali sokongan majoriti undi masyarakat Melayu. Kasihanilah kami pada peringkat bawahan yang setiap masa harus menepis tohmahan akibat tindakan dan kenyataan kurang bijak segelintir pimpinan Umno.
NORHISYAM MOHAMAD, Pemuda Umno Bahagian Kuala Kedah.
Kita di Gerik : Puteri kena terima ini secara terbuka..PRU 12 sudah lebih daripada cukup mengesankan kita. Pelajarilah sesuatu..

No comments:

Post a Comment